SHAH ALAM - Mesej daripada besan pada hari pertama Ramadan tahun ini membuatkan Noraleeza Suleiman, 57, berasa cukup gembira dan terharu.
Mesej itu mengandungi pujian terhadap hidangan ayam masak merah yang disediakan anak sulungnya, Nurul Izzah Zulkarnain, 27, untuk keluarga mentua.
Bagi Noraleeza, pujian itu cukup bermakna kerana anaknya sebelum ini kurang mahir memasak lauk-pauk Melayu, malah lebih menggemari roti dan makanan barat.
Di sebalik kejayaan Nurul Izzah itu, tersimpan kisah kesungguhan seorang ibu yang mengambil masa enam bulan menyiapkan buku resipi tulisan tangan untuk anaknya.
“Selepas itu, mentuanya menghantar mesej kepada saya untuk memuji masakan Nurul Izzah dengan panjang lebar. Ketika itu saya gembira dan terharu kerana dia sudah berjaya memasak,” katanya kepada Sinar Ahad.
Noraleeza yang merupakan suri rumah berkata, idea menghasilkan buku resipi khas untuk Nurul Izzah tercetus selepas majlis merisik anaknya itu.
“Kebetulan, pasangan Nurul Izzah gemar makanan pedas. Jadi, saya mula mengajarnya asas memasak supaya dia faham istilah seperti pecah minyak, berketul dan reneh.
“Saya tidak mahu dia selalu makan di luar, jadi setiap resipi ditulis lengkap dengan langkah demi langkah supaya mudah difahami dan boleh dimasak sendiri,” ujarnya.
Nurul Izzah yang mendirikan rumah tangga pada Julai 2025 kini menetap di Brickfields, Kuala Lumpur.
Warisan keluarga
Menurut Noraleeza, minat mengumpul resipi bermula sejak awal perkahwinan apabila dia sering mendapatkan resipi daripada ibu dan rakan-rakan sebelum mencuba sendiri hidangan berkenaan.
Hampir separuh daripada koleksinya resipi warisan nenek, ibu dan ibu mentuanya termasuk ayam opor, sambal goreng, rojak jenganan, rojak tauhu dan laksa Johor.
Katanya, sesetengah hidangan tradisional masyarakat Jawa itu semakin sukar ditemui malah rasa juga tidak lagi sama seperti dahulu.
Justeru, setiap resipi diuji terlebih dahulu bagi memastikan hasil masakan menepati cita rasanya sebelum dicatatkan.
“Biasanya saya ambil masa kira-kira setengah jam untuk menulis satu resipi pada waktu siang, manakala sebelah malam saya akan menghias halaman itu dengan pelekat.
Pada mulanya, Noraleeza hanya mencatat resipi secara ringkas tanpa gambar atau hiasan, namun mula menambah pelekat selepas mendapati buku tersebut semakin kotor akibat kesan masakan.
Minat terhadap barangan alat tulis turut mendorongnya menghias setiap halaman sebelum berkongsi gambar koleksi berkenaan di Threads atas cadangan kakaknya.
Perkongsian itu dapat sambutan di luar jangkaan, khususnya golongan muda yang berminat menyimpan dan mencuba resipinya.
Bahasa tersendiri
Sementara itu, Nurul Izzah yang bekerja dalam bidang pemasaran dan komunikasi berkata, buku resipi tersebut merupakan sesuatu yang dinantikannya sejak kecil selepas sering melihat ibunya mencatat pelbagai resipi dalam buku nota.
Sejak berusia lima tahun, dia sudah membayangkan kehidupan berkeluarga dengan meja makan dipenuhi hidangan daripada resipi ibunya yang suatu hari nanti boleh diwariskan kepada anak-anaknya pula.
“Kalau saya ikut resipi daripada skrin atau video, kadangkala tidak menjadi. Tetapi apabila saya menulis resipi itu sendiri di atas kertas atau dalam buku nota, saya lebih mudah mengikut langkahnya dan hasil masakan atau kek yang dibuat akan menjadi seperti masakan ibu.
“Cara ibu menulis resipi juga mempunyai bahasa tersendiri yang hanya kami fahami, seperti berapa lama perlu menumis, bila hendak memasukkan santan dan cara mengagak jumlah garam secukup rasa,” katanya.
Dalam pada itu, Noraleeza tidak pernah terfikir untuk menerbitkan koleksi resipinya, namun anak saudaranya pernah mencadangkan supaya buku itu disimpan dalam format dokumen mudah alih (PDF) untuk dikongsi bersama ahli keluarga.
“Resipi saya biasa sahaja sebenarnya. Cuma saya seronok apabila melihat anak-anak muda berminat untuk mencuba.
“Terutama anak-anak yang tinggal berjauhan daripada keluarga, sekurang-kurangnya mereka tahu menyediakan makanan sendiri. Kalau anak saya boleh buat, saya percaya orang lain pun boleh,” ujarnya.
Selain resipi, Noraleeza turut menyelitkan kisah di sebalik sesetengah hidangan dalam koleksinya sebagai cara mewariskan pengalaman hidup dan kenangan keluarga.