HASRAT skuad hoki wanita negara untuk meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2026 tidak kesampaian selepas tewas 2-5 kepada Jepun pada aksi penentuan tempat ketiga di Bhopal, India hari ini.
Jepun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Risa Sasaki pada minit ke-11 sebelum Fatin Shafika Mahd Sukri menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-22.
Bagaimanapun, Jepun kembali di hadapan seminit kemudian menerusi gol padang Nanami Kaneko sebelum Nuramirah Shakirah Zulkifli memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada akhir separuh masa pertama menerusi jaringan pada minit ke-28.
Memasuki separuh masa kedua, Sasaki sekali lagi meletakkan Jepun di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum melengkapkan hatrik menerusi gol padang pada minit ke-47.
Kaneko kemudian melengkapkan kemenangan Jepun menerusi gol padang pada minit ke-55 sekali gus menyaksikan Malaysia menamatkan kempen kejohanan itu di kedudukan keempat. - Bernama