DUNIA gusti profesional dikejutkan dengan berita pemergian bintang World Wrestling Entertainment (WWE), Bronson Reed, yang meninggal dunia pada usia 38 tahun akibat komplikasi perubatan.
“WWE amat berdukacita mengumumkan bahawa Jermaine Haley, yang dikenali dalam kalangan peminat WWE sebagai Bronson Reed, telah meninggal dunia awal hari ini.
“Ingatan dan ucapan takziah kami kepada keluarga, sahabat serta para peminat Jermaine,” menurut WWE dalam kenyataan itu.
Pemergian ahli kumpulan The Vision itu mengejutkan ramai, apatah lagi selepas beliau baru sahaja tampil pada acara WWE Crown Jewel di Riyadh, Arab Saudi, pada 7 November lalu.
Dalam acara berkenaan, Reed dilaporkan mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tulang rusuk dan kecederaan pada buah pinggang selepas dihempas dari atas pentas oleh Oba Femi.
Insiden itu berlaku ketika Reed cuba membantu dua rakan sepasukannya, Bron Breakker dan Austin Theory, mempertahankan Kejuaraan 'Tag Team' Dunia WWE dalam perlawanan menentang Penta dan Je’Von Evans.
Susulan kecederaan itu, Reed dilaporkan terpaksa berada lebih lama di Arab Saudi bagi mendapatkan rawatan sebelum kembali ke Amerika Syarikat hampir dua minggu kemudian.
Bagaimanapun, setakat ini WWE belum memperincikan komplikasi perubatan yang membawa kepada kematiannya.
Berasal dari Australia, Reed mempunyai pengalaman hampir dua dekad dalam industri gusti profesional, dengan mencipta nama di beberapa promosi antarabangsa termasuk Pro Wrestling NOAH, Revolution Pro Wrestling dan Pro Wrestling Guerrilla sebelum menyertai jenama NXT di bawah WWE.
Bekas juara NXT North American itu pernah dilepaskan WWE pada 2021, sebelum meneruskan kariernya bersama New Japan Pro-Wrestling (NJPW) dan Impact Wrestling.
Beliau kembali menyertai WWE pada penghujung 2022 dan mula mendapat perhatian menerusi wataknya sebagai antara penggusti kelas heavyweight paling digeruni dalam promosi berkenaan.
Meskipun memiliki susuk tubuh yang besar, Reed cukup dikenali dengan ketangkasan dan kekuatan fizikalnya, selain gerakan penyudah ikoniknya, ‘Tsunami’.
Pemergiannya pada usia yang masih muda merupakan satu kehilangan besar buat industri gusti profesional, ketika kariernya bersama WWE dilihat masih mempunyai potensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. - Awani