PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik bekas Presidennya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Penaung Kehormat bagi sesi 2026 hingga 2030 dalam usaha memperkukuh hala tuju persatuan dan mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu.
Presidennya, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, pelantikan tersebut dibuat hasil perbincangan rasmi bersama Ahmad Jazlan berhubung hala tuju persatuan berkenaan selain mendapat persetujuan sebulat suara Ahli Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak itu.
Iklan
Iklan
"Pemilihan beliau (Ahmad Jazlan) dibuat berdasarkan pengalaman, kepimpinan serta komitmen beliau dalam menyumbang kepada pembangunan bola sepak Kelantan.
"Ahmad Jazlan pernah menerajui KAFA sebagai Presiden dari 2004 hingga 2007, sekali gus memulakan era kegemilangan pasukan Kelantan ketika beraksi dalam Liga FAM sebelum berjaya melayakkan diri ke Liga Perdana," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, kehadiran tokoh berkenaan sebagai Penaung Kehormat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh hala tuju KAFA.
Katanya, pada masa sama ia mampu memperkasakan pembangunan bola sepak akar umbi, memperluas jaringan strategik serta mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan.
Rosmadi memberitahu, KAFA percaya sokongan dan kepimpinan yang berwibawa mampu membantu membina ekosistem bola sepak lebih progresif, mampan dan berdaya saing di negeri itu.