Lebih 20 tahun lahirkan atlet pelapis tempatan dalam sukan taekwondo

Iklan
Antara peserta yang berentap pada kejohanan taekwondo anjuran Kelab Gemilang Taekwondo Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

LEBIH dua dekad berkecimpung dalam arena seni mempertahankan diri, Kelab Gemilang Taekwondo Terengganu terus konsisten melahirkan ramai atlet pelapis dalam kalangan anak tempatan sehingga berjaya melangkah ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.

​Pengasasnya, Shaik Ismail Mohd Farook berkata, sejak mula bertapak lebih 20 tahun lalu, kelab berkenaan optimis mencapai matlamat mencungkil bakat anak jati Terengganu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, usaha berterusan yang digerakkan hampir 26 tahun itu kini membuahkan hasil apabila seramai tiga atlet kelab berkenaan terpilih mewakili Malaysia, termasuk dua daripadanya yang sedang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil sebagai persiapan ke Sukan SEA 2027.

​"Seorang lagi atlet kita yang masih menuntut di Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus turut berjaya meraih pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) baru-baru ini.

Iklan

​"Baru-baru ini seorang lagi atlet anak jati Terengganu di bawah bimbingan kami turut terpilih mewakili negara ke kejohanan remaja dunia di Tashkent, Uzbekistan," katanya ketika ditemui pada kejohanan taekwondo anjuran kelab tersebut yang berlangsung selama dua hari di sini pada Sabtu.

Seramai 1200 peserta menyertai kejohanan taekwondo anjuran Kelab Gemilang Taekwondo Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

Iklan

​Shaik Ismail berkata, kejohanan edisi ke-12 itu berjaya menghimpunkan seramai 1,200 peserta dari seluruh daerah di negeri ini bermula dari Kemaman hingga ke Besut.

​Katanya, penyertaan meluas melibatkan kategori umur seawal empat hingga enam tahun bagi peringkat tadika sehinggalah pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah berusia 17 tahun membuktikan sukan tempur di bawah sistem Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) itu terus diminati.

​"Kelab Gemilang kini mempunyai tujuh cawangan di seluruh Terengganu dengan kekuatan antara 1,500 hingga 2,000 pelajar yang kebanyakannya berlatih di sekolah serta pusat latihan kami," ujarnya.

​Bagaimanapun, Shaik Ismail mengakui cabaran utama dalam pembangunan sukan taekwondo masa kini adalah tahap komitmen masa dalam kalangan generasi muda berbanding atlet terdahulu.

Wan Roslan (tengah) bersama Shaik Ismail (kiri) menyerahkan hadiah kepada salah seorang pemenang sempena kejohanan taekwondo anjuran Kelab Gemilang Taekwondo Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

​Jelasnya, walaupun jumlah penyertaan semakin meningkat, jadual harian pelajar yang terlalu padat dengan kelas tuisyen serta pelbagai aktiviti lain menyebabkan fokus mereka terhadap latihan sukan sedikit terjejas.

​Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Wan Roslan Wan Ramli berkata, kejohanan membabitkan empat disiplin itu dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Gemilang Taekwondo Terengganu dengan penyertaan keseluruhan terdiri daripada murid-murid sekolah di negeri ini.

​Menurutnya, walaupun sukan taekwondo masih belum disenaraikan secara khusus dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) mahupun Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), penganjuran seumpama itu tetap memberi nilai tambah kepada pelajar.

​"Menerusi permohonan yang dibuat pihak penganjur, penyertaan murid dalam kejohanan ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) mereka di peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.