Alonso akui Chelsea dalam situasi sukar

Iklan
Alonso. - AFP

PENGENDALI Chelsea, Xabi Alonso mengakui pasukannya sedang melalui detik sukar selepas The Blues mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tewas 2-3 kepada Nottingham Forest pada Jumaat.

Kekalahan di City Ground itu menyaksikan Chelsea terus bergelut memperbaiki prestasi apabila kini menghuni tangga kelapan liga, selain merekodkan empat kekalahan daripada lima perlawanan terakhir.

Iklan
Iklan

“Ini detik sukar buat semua orang. Kami sekali lagi kecewa kerana tewas, tetapi perlu terus berusaha mencari penyelesaian dan tidak boleh berhenti.

“Keyakinan pasukan berada pada tahap rendah. Kami bergelut untuk mempertahankan keputusan perlawanan. Selepas merapatkan kedudukan kepada 1-2, kami sekali lagi dibolosi sehingga ketinggalan 1-3.

Iklan

“Segalanya tidak menyebelahi kami ketika ini, namun kami bertanggungjawab terhadap situasi tersebut dan perlu mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Chelsea terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan awal Igor Jesus sebelum Morgan Gibbs-White menggandakan kelebihan Forest menerusi sepakan penalti pada babak kedua.

Iklan

Emmanuel Emegha kemudian merapatkan jurang buat Chelsea, namun Gibbs-White sekali lagi menghukum kelemahan pertahanan pelawat sebelum jaringan kedua Emegha pada penghujung perlawanan gagal mengelakkan kekalahan.

Kelemahan benteng pertahanan Chelsea turut menjadi perhatian apabila mereka sudah dibolosi 23 gol dalam 12 perlawanan liga musim ini. Keputusan Alonso menggunakan pemain tengah Ecuador, Moises Caicedo dalam formasi tiga pertahanan turut mengundang persoalan.

Pertahanan tengah, Wesley Fofana juga berdepan tekanan penyokong selepas melakukan kekasaran yang menghadiahkan penalti kepada Forest selain menerima sorakan negatif penyokong Chelsea di stadium.

Bagaimanapun, Alonso menegaskan semua pemain perlu terus mendapat sokongan dan beliau tidak akan mengetepikan mana-mana individu ketika pasukan berdepan kesukaran.

“Kami perlu menyokong semua pemain, termasuk mereka yang berada dalam kesebelasan utama. Kami tahu perlu mengharungi detik sukar ini. Kami tidak akan meminggirkan sesiapa dan sebaliknya mahu membantu setiap pemain,” katanya.