KUCHING - Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak tidak meletakkan sebarang sasaran kerusi tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, namun berharap dapat menambah bilangan kerusi bagi memastikan proses semak dan imbang yang lebih berkesan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Calon DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Kota Sentosa, Chong Chieng Jen berkata, kedudukan semasa DUN Sarawak yang menyaksikan jurang 80 kerusi kerajaan berbanding hanya dua kerusi pembangkang adalah terlalu berat sebelah dan menyukarkan usaha membawa suara rakyat.
Menurut beliau yang juga Pengerusi DAP Sarawak, ketidakseimbangan tersebut mengehadkan ruang pembangkang untuk membahaskan isu-isu berkepentingan rakyat di dalam Dewan.
"Pada masa ini, kedudukan 80 berbanding dua terlalu berat sebelah dan amat mudah untuk mereka mendiamkan kami melalui masa yang diperuntukkan bagi membahaskan isu rakyat.
"Setiap wakil rakyat hanya diberikan masa 20 minit. Jadi, kami berharap lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP dapat masuk ke DUN supaya kami mempunyai suara serta peranan semak dan imbang yang lebih kuat," katanya.
Mengulas cabaran menghadapi pilihan raya kali ini, Chong mengakui setiap saingan adalah sukar memandangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan lawan yang kuat, malah sudahpun menang tanpa bertanding di beberapa kerusi.
Beliau menegaskan tidak timbul persoalan mengenai kemampuan GPS untuk membentuk kerajaan negeri semula dengan majoriti dua pertiga, sekali gus menjadikan landskap politik kali ini jauh lebih mencabar buat DAP berbanding pilihan raya sebelum ini.
Namun begitu, beliau berpandangan kewujudan blok pembangkang yang lebih kuat amat diperlukan demi kebaikan rakyat Sarawak dan kelangsungan amalan demokrasi.
"Tiada persoalan bahawa GPS akan membentuk kerajaan dan memenangi majoriti dua pertiga. Dengan landskap politik sebegitu, saingan kali ini lebih sukar buat kami berbanding pilihan raya lain.
"Tetapi demi kebaikan rakyat Sarawak, adalah lebih baik untuk kita mempunyai pembangkang yang lebih kuat serta semak dan imbang yang lebih mantap. Demokrasi yang terbaik memerlukan pembangkang, dan tiada demokrasi tanpa pembangkang," ujarnya.
Pada PRN Sarawak ke-13 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini, DAP Sarawak mempertaruhkan calon di 14 kerusi DUN selepas rakan komponennya dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu PKR dan Amanah, memutuskan untuk tidak bertanding.
Chong sendiri akan bertanding di kerusi DUN Kota Sentosa bagi merebut semula kawasan yang pernah diwakilinya itu. - Awani