KUCHING - Sebanyak 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menyaksikan kemenangan tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak Ke-13 (PRN-13), selepas hanya satu calon mengemukakan kertas penamaan di kawasan berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, susulan itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 29 kawasan berkenaan telah mengisytiharkan calon yang dinamakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak Ke-13 tanpa perlu bertanding.
Beliau berkata, berdasarkan perkiraan SPR, seramai 632,149 pengundi atau 30.71 peratus daripada keseluruhan 2.058 juta pengundi berdaftar di Sarawak tidak perlu keluar mengundi pada hari pengundian, 12 Disember ini.
Antara kawasan yang mencatatkan kemenangan tanpa bertanding termasuk Tanjung Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Engkilili dan Saribas.
Turut menyaksikan kemenangan tanpa bertanding ialah Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari.
Dalam perkembangan sama, Ramlan berkata SPR menerima dan mengesahkan keseluruhan 168 kertas penamaan calon bagi PRN-13, tanpa sebarang kertas penamaan ditolak.
Daripada jumlah itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengemukakan 82 calon, diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebanyak 29 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 17 calon dan DAP sebanyak 14 calon.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula mengemukakan tiga calon, Aspirasi Sarawak seorang calon manakala 22 lagi bertanding sebagai calon Bebas.
Sebanyak 29 kerusi menyaksikan pertandingan dua penjuru, 15 kerusi pertandingan tiga penjuru dan sembilan kerusi pertandingan empat penjuru, menurut Ramlan.
Daripada keseluruhan calon yang bertanding, 154 merupakan lelaki manakala 14 wanita, dengan calon termuda berusia 24 tahun daripada DAP di Pelawan, manakala calon tertua ialah calon PBDS di Krian yang berusia 78 tahun.
Mengulas kemungkinan pembentukan kerajaan negeri lebih awal sekiranya GPS memperoleh majoriti mudah, beliau berkata SPR telah mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan dimaklumkan bahawa proses pilihan raya perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum pembentukan kerajaan dibuat.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya menyemak status kawasan masing-masing, termasuk menerusi portal dan aplikasi MySPR, bagi memastikan sama ada mereka masih perlu keluar mengundi pada 12 Disember ini. - Awani