LEBIH 70 peratus pengguna perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) di Malaysia menganggap kemudahan itu sebagai satu-satunya pilihan kredit mereka, meningkat 15 mata peratusan berbanding tahun lalu.
Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata, perkembangan itu menunjukkan peranan BNPL yang semakin penting dalam menyediakan akses kredit alternatif kepada pengguna, khususnya mereka yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kredit tradisional.
“SPayLater sering menjadi pendedahan pertama kepada kredit bagi kebanyakan pengguna. Kami percaya penekanan perlu diberikan kepada kejelasan dan struktur, dengan mengutamakan terma pembayaran balik yang dipaparkan secara jelas dari awal serta pecahan bayaran bulanan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, terma pembayaran yang telus juga boleh membantu pengguna mempelajari konsep kewangan dan menjadi langkah awal sebelum menguruskan produk kredit yang lebih kompleks.
Menurutnya, penyediaan maklumat pembayaran yang jelas dapat membantu pengguna memahami komitmen kewangan mereka ketika menggunakan kemudahan BNPL.
Dapatan itu berdasarkan tinjauan tahunan kedua Fikir Sekarang, Bayar Kemudian yang dijalankan SPayLater bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), melibatkan 18,100 pengguna di seluruh negara.
Tinjauan berkenaan turut mendapati 74 peratus pengguna BNPL melihat kredit sebagai satu keperluan harian, sekali gus menunjukkan kepentingan kemudahan itu dalam membantu mereka menguruskan perbelanjaan.
Lebih 40 peratus responden pula menggunakan ansuran SPayLater untuk tujuan pengurusan bajet, khususnya bagi pembelian bernilai besar yang memerlukan perancangan aliran tunai.
Sebahagian pengguna turut memanfaatkan kemudahan itu bagi menampung kos keperluan mendesak seperti pembaikan kenderaan dan penggantian peralatan rumah.
Dalam pada itu, sebanyak 94 peratus pengguna menyatakan mereka berasa lega kerana mempunyai BNPL sebagai kemudahan kredit fleksibel, dengan pembayaran balik berstruktur membantu mereka mengawal perbelanjaan.
Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK, Nirmala M Supramaniam berkata, perkembangan itu mencerminkan perubahan lebih meluas dalam cara rakyat Malaysia menggunakan kredit.
“Kami melihat perubahan yang lebih meluas dalam cara rakyat Malaysia menggunakan kredit, dengan BNPL semakin memenuhi jurang yang belum dapat dicapai oleh kredit tradisional.
“Seiring peningkatan penggunaan, tumpuan kami adalah memastikan pertumbuhan ini disertai dengan literasi kewangan supaya akses kepada kredit terus seiring dengan pemahaman tentang cara menggunakannya dengan baik,” jelas beliau.
Ujarnya, akses kepada kredit perlu diperkukuh dengan pembentukan tabiat kewangan asas dan landskap kredit yang berdaya tahan.
“Yang menggalakkan, kami tidak menemukan kes kebankrapan yang menyatakan BNPL sebagai punca utama, namun kami percaya akses kredit perlu diperkukuh dengan membina tabiat kewangan asas dan landskap kredit yang berdaya tahan untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Tinjauan itu turut mendapati tujuh daripada 10 pengguna memahami konsep pemarkahan kredit dan kesannya, manakala 98 peratus menyatakan mereka menggunakan BNPL secara bertanggungjawab.
Selain itu, 70 peratus responden percaya penggunaan BNPL akan memberi kesan positif terhadap penilaian kredit mereka, sekali gus berpotensi membantu pengguna yang mempunyai akses terhad kepada kredit tradisional membina rekod kewangan.
Dari aspek keselamatan, 88 peratus responden menyatakan mereka berasa selamat menggunakan SPayLater, dengan mengaitkan keyakinan itu kepada perlindungan pengguna dan langkah mengurangkan penipuan.
Tinjauan berkenaan dijalankan antara Jun hingga Julai lalu, melibatkan pengguna SPayLater daripada pelbagai kumpulan umur dan latar belakang pendapatan di seluruh 14 negeri di Malaysia.