eTomAato perluas penggunaan tomato Eropah dalam masakan Malaysia

Iklan
Michele Sabatino (kiri), Ketua Pengarah Euroconsult Sicilia; Cef Enzo Carbone (dua dari kiri) dari Il Forno; bersama Carmine Vastola (kanan), Setiausaha Agung OI Pomodoro Centro Sud Italia pada sidang media eTomAato di Kuala Lumpur.

KEMPEN eTomAato: European Tomato, A Red Passion yang mempromosikan produk tomato diproses Eropah terus memperkukuh penglibatannya di Malaysia menerusi aktiviti pendidikan produk dan penerokaan aplikasi dalam masakan.

Usaha itu termasuk demonstrasi masakan secara langsung serta sesi merasa produk di Il Forno, Hyatt Centric City Centre Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Dibiayai bersama oleh Kesatuan Eropah dan dipromosikan OI Pomodoro Centro Sud Italia yang mewakili lebih 70 pengeluar tomato dari Itali, kempen itu menggalakkan penggunaan tomato diproses Eropah bukan sahaja dalam hidangan Itali seperti pasta dan piza, malah dalam masakan Malaysia serta negara Asia lain.

Ketua Pengarah Euroconsult Sicilia, Michele Sabatino berkata, kempen berkenaan bertujuan membantu pengguna dan golongan profesional industri makanan memahami standard pengeluaran Eropah serta meneroka bagaimana bahan berkenaan boleh melengkapi tradisi masakan tempatan.

Iklan

“Tahun ini, eTomAato memberi tumpuan untuk membantu pengguna Malaysia dan golongan profesional kulinari memahami kualiti, standard keselamatan makanan, kebolehkesanan serta khasiat pemakanan tomato diproses Eropah.

“Menerusi pengalaman kulinari secara praktikal, kami juga mahu menunjukkan bagaimana bahan ini boleh melengkapi cita rasa masakan Malaysia yang biasa dinikmati serta mencetuskan idea baharu dalam penyediaan hidangan, sama ada di dapur profesional mahupun di rumah,” katanya.

Iklan

Selain kepelbagaian penggunaannya dalam masakan, tomato diproses Eropah menawarkan kualiti konsisten dan standard keselamatan makanan yang ditetapkan, sekali gus menjadikannya pilihan bahan untuk industri makanan dan minuman Malaysia.

Penggunaannya merangkumi restoran, pengeluar makanan dan dapur profesional, manakala kawalan keselamatan makanan sepanjang rantaian bekalan turut diberi penekanan bagi memastikan kualiti serta kebolehkesanan produk.

Demonstrasi penyediaan hidangan menggunakan tomato diproses Eropah sempena kempen eTomAato di Kuala Lumpur.

Dalam demonstrasi berkenaan, Cef Enzo Carbone dari Il Forno menyediakan hidangan Risotto Carnaroli al Pomodoro, Stracciatella e Pesto di Basilico yang menggabungkan beras Carnaroli dengan tomato, keju stracciatella dan pesto selasih.

Hidangan itu memperlihatkan bagaimana tomato menyumbang kepada rasa dan tekstur makanan, manakala sesi merasa produk membolehkan tetamu mencuba sendiri bahan berkenaan.

Kempen itu mula diperkenalkan di Malaysia sempena Food & Hospitality Malaysia 2025 dengan sokongan Kedutaan Itali di Kuala Lumpur dan Agensi Perdagangan Itali (ITA).

Pada November 2025, demonstrasi masakan dan sesi merasa makanan di Ben’s Independent Grocer, Publika menghimpunkan pengimport, cef serta pemilik restoran bagi meneroka hidangan klasik Itali dan sajian kegemaran rakyat Malaysia.

Sementara itu, pada April dan Mei 2026, dua demonstrasi masakan eksklusif turut diadakan bersama pengimport, pengedar, cef dan wakil restoran bagi meneroka penggunaan tomato dalam tin dari Itali dalam masakan tradisional serta kontemporari.

Manakala pada Julai 2026, kempen itu memperluas aktiviti pendidikan ke Sunway University apabila pelajar kulinari menyertai demonstrasi masakan oleh cef dan sesi merasa produk secara buta bagi meningkatkan kesedaran serta penghargaan terhadap tomato dalam tin dari Itali dalam kalangan generasi baharu profesional kulinari.

Di Malaysia, kempen berkenaan akan diakhiri dengan sesi merasa produk di Village Grocer, Desa ParkCity pada 28 dan 29 November ini yang dibuka kepada orang ramai.

Demonstrasi masakan secara langsung turut dijadualkan pada 28 November dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang bagi memperlihatkan kepelbagaian penggunaan tomato dalam tin dari Itali dalam penyediaan pelbagai hidangan.

Berdasarkan angka yang dipetik Kedutaan Itali ketika pelancaran kempen pada 2025, Itali merupakan pembekal kedua terbesar Malaysia bagi produk tomato yang disediakan atau diawet.

Itali menyumbang sebanyak 1.8 juta euro (kira-kira RM8.9 juta) daripada keseluruhan import Malaysia bernilai 8.58 juta euro (kira-kira RM42.5 juta) bagi tempoh Januari hingga Mei 2025.

Sehubungan itu, eTomAato berusaha menghubungkan pengeluar Eropah dengan pengimport, pengedar, peruncit serta pengusaha perkhidmatan makanan di Malaysia bagi berkongsi kepakaran, meneroka peluang komersial dan memperkukuh hubungan perdagangan sektor agromakanan.

Kempen yang meliputi Malaysia, Singapura dan Thailand itu berlangsung dari Februari 2025 hingga Januari 2027 dengan penglibatan golongan profesional kulinari, pengeluar makanan, peruncit dan pengguna.

Mengulas hala tuju kempen, Sabatino berkata, pihaknya berharap inisiatif itu dapat mewujudkan kerjasama jangka panjang antara pengeluar Eropah dengan industri makanan Malaysia.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan kerjasama jangka panjang antara pengeluar Eropah dan industri makanan Malaysia yang berteraskan kualiti, kemampanan serta manfaat bersama,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai eTomAato, layari https://etomaato.eu/.