IPOH - Seorang kelindan lori dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 3,947.4 gram, empat tahun lepas.
Hakim Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu terhadap S. Madhialagan, 48, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah tersebut di tepi lebuh raya di Kilometer 311.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, Tapah pada 3 petang, 26 Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Hakim Norsharidah berkata penemuan tiga profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan empat cap jari individu lain di bahagian dalam kenderaan itu turut menunjukkan orang lain mempunyai akses terhadap kereta tersebut.
"Dengan terdapatnya kemungkinan akses tersebut, OKT (orang kena tuduh) tidak boleh dikatakan mempunyai sebarang pemilikan eksklusif ke atas bungkusan plastik hitam tersebut," katanya.
Hakim itu berkata, tertuduh juga tidak cuba melarikan diri ketika ditahan, sekali gus konsisten dengan tingkah laku individu yang tidak mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan terhadap dadah terbabit.
Beliau berkata, pegawai penyiasat turut gagal menjelaskan percanggahan versi keterangan mengenai lokasi penemuan dadah itu berbanding kenyataan sidang media polis pada 28 Julai 2022.
Norsharidah berkata, keadaan bungkusan plastik hitam yang tidak mempunyai sebarang kesan koyak, pasir atau rumput membuktikan dadah berkenaan dijumpai di dalam kereta dan bukannya dicampak ke dalam longkang.
Perbicaraan kes itu bermula pada 3 Februari hingga 18 September lepas dengan lapan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam Charan Singh Kartar Singh dan Noorfarihah Arshad. - Bernama