'Dulu dikutuk, sekarang BAP guna cara sama' – Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz pada sesi penggulungan belanjawan Johor pada Jumaat.

ISKANDAR PUTERI -"Dulu dikutuk dan dipertikai, sekarang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pun menggunakan pendekatan sama,” demikian sindiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika sesi penggulungan Belanjawan Johor 2027 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Jumaat.

Onn Hafiz berkata, perkara itu menimbulkan persoalan apabila kaedah penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersemuka yang sebelum ini dikritik ketika Pakatan Harapan (PH) memegang mandat, kini turut dilaksanakan menerusi BAP.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kaedah penyerahan secara bersemuka itu bukan perkara baharu kerana sebelum ini beberapa wakil rakyat termasuk dari kawasan Senai, Tiram dan Simpang Jeram turut bersama-sama menyampaikan BKJ kepada rakyat.

“Namun, berubah keadaan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. Apa cerita ini? Sebelum ini okey saja. Takkanlah dulu boleh, sekarang tak boleh?

Iklan

“Apatah lagi dua hari lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan yang mewajibkan semua ibu bapa mengambil wang tunai di sekolah.

“Masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mengutuk dan mempertikaikan kaedah penyerahan BKJ. Tapi syukur, hari ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri nampak keberkesanan cara pelaksanaan Bantuan Kasih Johor,” katanya.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus melaksanakan penyerahan BKJ secara bersemuka walaupun berdepan kritikan terhadap pendekatan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri bagaimanapun terbuka menerima maklum balas bagi menambah baik pelaksanaannya termasuk memperkemas sistem giliran, menyusun masa penyampaian dan mengurangkan kesesakan.

Katanya, tiada unsur paksaan dikenakan kerana penerima yang uzur, terlantar atau mempunyai kekangan pergerakan dibenarkan menghantar wakil untuk menerima bantuan bagi pihak mereka.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 pada 19 November lalu, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM263.72 juta bagi melaksanakan 24 kategori BKJ yang dijangka memanfaatkan lebih 820,000 penerima.