ISKANDAR PUTERI – Kaedah agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2027 yang mewajibkan ibu bapa hadir sendiri ke sekolah dipersoalkan susulan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengkritik kaedah sama ketika Kerajaan Negeri Johor menyalurkan Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini turut mengkritik kaedah agihan BKJ ketika PRN Johor.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri berkata, Perdana Menteri kini menetapkan supaya ibu bapa hadir sendiri ke sekolah untuk menerima BAP sebanyak RM200 bagi sesi persekolahan 2027.
“Tidak salah menyerahkan bantuan secara bersemuka. Namun, apabila Kerajaan Negeri Johor menyalurkan BKJ dengan cara yang sama, pemimpin PH mengkritiknya.
“PMX sendiri turut mengkritiknya semasa PRN Johor. Kini kaedah bersemuka dijadikan syarat bagi BAP, maka timbul persoalan sama ada pendirian mereka konsisten,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini menerima teguran berhubung kaedah agihan BKJ secara terbuka dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan penerima yang mempunyai kekangan tidak tercicir.
Katanya, penerima uzur dan orang kurang upaya (OKU) tidak diwajibkan hadir sendiri, sebaliknya wakil dibenarkan mengambil bantuan, selain bantuan dihantar ke rumah bagi mereka yang tidak mampu hadir.
Menurutnya, cadangan penambahbaikan kaedah agihan bantuan turut dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang dan Skudai ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“ADUN Stulang mencadangkan bantuan dimasukkan terus ke akaun bank penerima sebagai kaedah utama, manakala agihan fizikal hanya untuk kes tertentu.
“ADUN Skudai pula mencadangkan bantuan dikreditkan terus ke akaun bank, penyerahan tunai dikekalkan bagi mereka yang tiada akses perbankan dan kaunter bergerak disediakan untuk penerima yang memerlukan,” katanya.
Md Israk menambah, cadangan berkenaan juga wajar dipertimbangkan dalam pelaksanaan BAP yang melibatkan kira-kira 5.3 juta murid di seluruh negara.
Katanya, ADUN Stulang dan Skudai yang juga rakan sepakatan Anwar boleh menyampaikan cadangan sama kepada Perdana Menteri serta Kementerian Pendidikan untuk memastikan kaedah penyaluran bantuan lebih mudah diakses.
Beliau berkata, kehadiran ibu bapa ke sekolah mungkin memudahkan urusan penyerahan bantuan, namun keadaan setiap keluarga berbeza termasuk ibu bapa yang bekerja syif, pekerja gig, ibu atau bapa tunggal, golongan uzur serta mereka yang tinggal jauh dari sekolah.
“Anak-anak tidak sepatutnya terlepas bantuan hanya kerana ibu bapa mereka tidak dapat hadir pada hari yang ditetapkan.
“Dasar bantuan rakyat wajar dinilai dengan ukuran yang sama, tidak kira siapa yang melaksanakannya,” katanya.