Keberkesanan inisiatif lindung Harimau Malaya perlu kerjasama semua pihak

Iklan
Kelibat seekor Harimau Malaya bersama anaknya berjaya dirakam di Royal Belum, Gerik. Foto: WWF-MALAYSIA

IPOH – Komitmen kerajaan negeri memperkukuh perlindungan habitat Harimau Malaya menerusi Belanjawan Perak 2027 perlu disusuli pelaksanaan konsisten, peruntukan mencukupi serta kerjasama semua pihak bagi memastikan usaha pemuliharaan spesies terancam itu mencapai keberkesanan jangka panjang.

Ketua Program Pemuliharaan Harimau Malaya WWF-Malaysia, Azlan Mohamed berkata, inisiatif mempertingkat pengurusan kawasan hutan simpan yang menjadi habitat utama harimau merupakan perkembangan positif dalam usaha memastikan kelangsungan spesies berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengiktirafan menerusi piawaian Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS) terhadap Kompleks Hutan Temengor dan Hutan Simpan Amanjaya turut menjadi langkah penting dalam memperkukuh pengurusan habitat harimau di Perak.

“CA|TS menyediakan piawaian dan kerangka penilaian bagi memastikan sesuatu kawasan habitat harimau diuruskan dengan efektif, selain membantu agensi pengurusan mengenal pasti jurang serta meningkatkan amalan pemuliharaan.

Iklan

“Ini termasuk aspek perlindungan hidupan liar, pengurusan habitat, pemantauan harimau dan haiwan mangsa serta penglibatan komuniti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pendaftaran kedua-dua kawasan berkenaan di bawah CA|TS turut melengkapi pensijilan sedia ada menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) dengan memberikan tumpuan khusus kepada keperluan pemuliharaan harimau.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan inisiatif itu tidak hanya bergantung kepada status perlindungan kawasan hutan, sebaliknya memastikan habitat kekal selamat, berfungsi dan saling berhubung bagi menyokong kelangsungan hidup Harimau Malaya.

Azlan berkata, usaha sedia ada boleh diperkukuh menerusi pendekatan pemuliharaan landskap secara menyeluruh, termasuk meningkatkan penglibatan komuniti Orang Asli dalam program rondaan, pemantauan hidupan liar serta inisiatif ekonomi mampan.

Selain itu, pemulihan populasi haiwan mangsa seperti rusa sambar, kijang dan babi hutan perlu diberi perhatian melalui pemulihan habitat, penambahbaikan kawasan mencari makanan serta pemantauan populasi secara berkala.

“Kerjasama antara agensi pengurusan di ketiga-tiga tapak CA|TS di Perak perlu dikekalkan dan usaha memperkukuh penguatkuasaan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) serta penglibatan agensi penting seperti PERHILITAN dan Wildlife Crime Bureau perlu dijalankan secara berkala.

“Analisis ancaman bagi memahami risiko serta merangka tindakan responsif dan berkesan untuk membanteras pemburuan haram, pencerobohan dan pemasangan jerat juga perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan pengurusan konflik hidupan liar yang lebih berkesan, termasuk memastikan pembangunan tidak menyebabkan fragmentasi habitat, pemasangan sistem amaran di kawasan penempatan serta menilai semula keberkesanan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Menurutnya, kerjasama rentas sempadan dengan Thailand juga penting memandangkan lanskap Belum-Temengor mempunyai hubungan ekologi dengan Taman Negara Bang Lang dan Santuari Hidupan Liar Hala-Bala di selatan negara itu.

Katanya, laporan pihak Thailand mengenai kehadiran Harimau Malaya di Taman Negara Bang Lang menunjukkan kemungkinan kedua-dua kawasan hutan berkenaan berfungsi sebagai habitat yang saling berhubung, sekali gus membolehkan harimau bergerak antara kawasan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Azlan berkata, pelepasan rusa sambar di Hutan Simpan Royal Belum merupakan usaha meningkatkan populasi spesies mangsa semula jadi harimau yang berdepan tekanan pemburuan haram dan kadar pembiakan yang perlahan.

Bagaimanapun, katanya, pemulihan sumber makanan harimau tidak seharusnya tertumpu kepada satu spesies sahaja kerana babi hutan turut memainkan peranan penting dalam rantaian makanan khususnya apabila populasinya berkurangan akibat Demam Babi Afrika (ASF).

Jelas beliau, sejak 2024, sebanyak 17 ekor babi hutan telah dilepaskan di lanskap Belum-Temengor sebagai sebahagian daripada usaha memperkayakan populasi hidupan liar, dengan perancangan untuk melaksanakan pelepasan tambahan pada masa hadapan.

Azlan berkata, semua inisiatif pemuliharaan perlu disokong penilaian saintifik, pemantauan selepas pelepasan serta petunjuk prestasi yang jelas bagi memastikan komitmen dan peruntukan diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kerajaan Perak memperkukuh usaha melindungi habitat Harimau Malaya di empat kawasan hutan simpan menerusi inisiatif Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS) di bawah Belanjawan Negeri Perak 2027.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi memperkukuh pengurusan serta perlindungan khazanah hutan negeri, kerajaan negeri memperuntukkan RM51.26 juta bagi Belanja Mengurus Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan negeri turut menyediakan RM6.7 juta kepada Perbadanan Taman Negeri Perak, RM200,000 bagi Geopark Lenggong dan RM500,000 kepada World Heritage Office Lenggong.

Selain itu, RM600,000 diperuntukkan bagi Perak Lestari dan Teknologi Hijau, RM500,000 untuk program Sekretariat Kelestarian Alam Perak serta RM780,000 bagi penyelenggaraan tapak Repositori Mukim Belanja oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Kerajaan negeri turut menyediakan RM14.57 juta menerusi peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi melaksanakan pelbagai program dan projek melibatkan jabatan serta agensi.