Arafat, pembangkang berbalas hujah dakwaan tikam belakang, istilah 'bapa sesumpah

Iklan
Muhamad Arafat ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Khamis.

IPOH - Isu tuduhan terhadap bekas anggota Exco kerajaan negeri serta penggunaan istilah 'bapa sesumpah' mencetuskan ketegangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Khamis.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang mendakwa terdapat bekas anggota Exco yang bertindak memburukkan kerajaan negeri dan Menteri Besar ketika masih berada dalam barisan pentadbiran kerajaan terdahulu.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu mendapat bantahan ADUN pembangkang termasuk Alor Pongsu, Trong dan Gunung Semanggol yang menyifatkan sangkaan buruk terhadap ahli Dewan.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudian meminta Muhamad Arafat menarik balik kenyataan berkenaan selepas mendapati penjelasan yang diberikan tidak mencukupi untuk menolak dakwaan tersebut.

Iklan

"Tuduhan berhubung perbuatan tikam belakang dan fitnah itu merujuk kepada kejadian ketika mereka masih berada dalam kerajaan.

"Saya berpandangan alasan yang diberikan ADUN Hulu Kinta tidak betul untuk menjelaskan kenyataan tersebut. Justeru, saya minta tarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf," katanya.

Iklan

Muhamad Arafat bersetuju menarik balik kenyataan tersebut.

Ketegangan sekali lagi tercetus apabila beliau menggunakan istilah 'bapa sesumpah' bagi menggambarkan perbezaan pendirian politik pemimpin pembangkang ketika berada dalam kerajaan berbanding selepas menjadi pembangkang.

Situasi itu menarik perhatian ADUN Kamunting dan Selama yang bangkit mempersoalkan penggunaan perkataan itu menerusi Perintah Tetap.

Mohammad Zahir sekali lagi meminta wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menarik balik perkataan 'bapa' kerana disifatkan kasar dan tidak sesuai digunakan dalam persidangan.

Muhamad Arafat menegaskan isu dibangkitkan adalah berkait rapat dengan beberapa dasar dan inisiatif, termasuk soal keadilan agihan peruntukan dibangkitkan pembangkang.

"Saya sebut dengan fahaman cara menilai politik berubah-ubah. Masa ada jawatan lain, bila tak ada jawatan lain. Kedai subsidi dulu (masa dalam jawatan) kata adalah yang terbaik, sekarang dia kata terburuk," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian negeri, beliau berkata, kejayaan yang dicapai Perak sehingga membolehkan Belanjawan 2027 dibentangkan sebagai bajet terbesar dalam sejarah negeri didorong beberapa faktor utama, termasuk tadbir urus baik, kemasukan pelaburan, kutipan hasil dan kestabilan politik.

Menurutnya, kerjasama erat antara kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan Exco daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut menyumbang kepada kelancaran pentadbiran.

"Ini terbukti gabungan PH dan BN di Perak selama ini telah membawa rahmat dan kemakmuran negeri," katanya.