Naik taraf Stadium Perak berbaki dua peratus - Exco

Iklan
Khairudin

IPOH - Kerja-kerja naik taraf Stadium Perak kini memasuki fasa akhir dengan hanya berbaki dua peratus sebelum keseluruhan projek berkenaan disiapkan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kemajuan keseluruhan projek itu kini mencapai 98 peratus, manakala baki kerja tertumpu kepada penyempurnaan keadaan rumput dan permukaan padang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja penanaman rumput di stadium berkenaan selesai sepenuhnya pada 1 Julai lalu, sekali gus membolehkan tumpuan diberikan kepada proses pemulihan rumput bagi mencapai ketebalan dan kepadatan optimum.

"Selain itu, kita juga sedang melaksanakan kerja-kerja pembetulan aras bagi memastikan permukaan padang berada pada ketinggian sesuai.

Iklan

"Ketinggian rumput selepas proses pemotongan perlu mencapai antara 18 hingga 20 milimeter dan kita mahu memastikan tiada lagi takungan air di kawasan tertentu padang selepas hujan lebat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Khairudin berkata, baki kerja penyempurnaan itu dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi memastikan keadaan padang benar-benar memenuhi keperluan sebelum dibuka untuk kegunaan semula.

Pihaknya tidak mahu stadium itu digunakan terlalu awal kerana ketebalan rumput, kekuatan akar dan kestabilan permukaan padang perlu dipastikan berada pada tahap sesuai.

"Kita harap kemudahan ini dapat digunakan tahun depan," katanya.

Stadium Perak ditutup sejak hujung Oktober 2024 bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf dilaksanakan.

Sepanjang tempoh itu, perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Perak FC diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Stadium Manjung).

Skop utama kerja merangkumi penggantian rumput jenis Kogras kepada Axonopus Putra, selain penambahbaikan sistem saliran bawah tanah dan pemasangan sistem siraman automatik jenis 'pop-up sprinkler'.

Sebelum ini, peminat serta penyokong skuad bola sepak negeri mempertikaikan kelewatan pembukaan semula Stadium Perak apabila ia masih belum dibuka walaupun sudah memasuki penghujung 2026.