'Saya lihat depan mata, dua anak nyawa-nyawa ikan'

Iklan
Saiful Nizam menunjukkan gambar keluarganya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU -"Saya lihat depan mata, dua anak nyawa-nyawa ikan."

Demikian cerita Saiful Nizam Abdul Sani, 42, sambil mengalirkan air mata terkenangkan dua anaknya iaitu Muhammad Saiful Haider Saiful Nizam, 10, dan Muhammad Saiful Hayyan, 6, terbaring berlumuran darah selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda dinaiki mereka bersama anak sulungnya, Muhammad Saiful Haikal, 18, terbabas di Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas pada Khamis.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, Muhammad Saiful Haider maut di lokasi, manakala Muhammad Saiful Hayyan menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menurut Saiful Nizam yang bekerja sebagai pembuat kuih, semasa kejadian dia sempat mengajar anak-anaknya itu mengucap.

Iklan

"Ketika itu saya hanya mampu berdoa agar dipermudahkan segala urusan selepas kedua-dua mereka berlumuran darah," katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II di sini pada Khamis.

Saiful Nizam ditenangkan oleh ahli keluarga ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Iklan

Menurut bapa kepada lima orang anak itu, Muhammad Saiful Haikal hanya mengalami luka dan patah jari kaki dan kini dirawat di HRPZ II.

Saiful Nizam memberitahu, semasa kejadian dia berada di rumah dan telah dimaklumkan oleh isterinya, Noor Zuhanis Mohd Noor, 42, selepas menerima panggilan daripada tauke kedai.

"Tauke kedai cam motosikal yang dinaiki anak-anak kerana ia milik saya. Lagipun, kuih-muih yang dibuat oleh saya dan isteri dijual di kedai berkenaan.

"Dia telefon pada isteri maklum anak-anak kemalangan, motosikal mereka terbabas. Selepas isteri bagitahu, saya terus ke lokasi kejadian," katanya.

Saiful Nizam mengalirkan air mata terkenangkan dua anaknya iaitu Muhammad Saiful Haider dan Muhammad Saiful Hayyan yang telah maut ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Ujar Saiful Nizam, sebelum itu dia ada menyuruh Muhammad Saiful Haikal yang merupakan pelajar diploma sebuah kolej untuk mengambil Muhammad Saiful Haider di Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1.

Tambahnya, anak sulungnya itu sedang tidur dan dia mengejutnya serta meminta cuci muka sebelum keluar mengambil adiknya itu.

Muhammad Saiful Haider (depan, duduk dari kiri) dan Muhammad Saiful Hayyan (depan, duduk dari kanan) selepas motosikal dinaiki mereka terbabas melanggar tiang di Kampung Bechah, Tendong, Pasir Mas pada Khamis.

"Menurut Muhammad Saiful Haikal, dia dikatakan terlelap semasa menunggang motosikal dan kemudian terbabas melanggar tiang. Mungkin dia masih mengantuk ketika itu," katanya.

Menurut dia, jenazah kedua anak lelakinya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas selepas selesai bedah siasat.