'Kami tidak lakukan sebarang kesalahan' - Setiausaha Politik Hannah

Iklan
Yee Vonne (kiri) bersama peguamnya hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung pelanjutan tempoh pajakan tanah KLSCAH pada Khamis.

SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yap Yee Vonne menegaskan pihaknya tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung pelanjutan tempoh pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Beliau yang hadir memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis berkata, keputusan berhubung perkara itu telah melalui proses penelitian dan tatacara yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

“Sebagaimana yang telah dijelaskan secara terbuka dan terperinci oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di Dewan Rakyat, keputusan berhubung perkara ini telah melalui proses penelitian serta tatacara yang ditetapkan.

“Kami tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan atau ditakuti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan SPRM merakam percakapan seorang pegawai Hannah selama lima jam bermula jam 10 pagi pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Isu tersebut membabitkan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium ditetapkan pada kadar RM1,000 berbanding anggaran terdahulu kira-kira RM4.67 juta.

Iklan

Mengulas lanjut, Yee Vonne memaklumkan beliau hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bersama peguam, Sangeet Kaur Deo bagi membantu siasatan berhubung perkara berkenaan.

“Saya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses rakaman keterangan dan akan terus bersedia sekiranya SPRM memerlukan sebarang maklumat atau penjelasan lanjut.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pegawai-pegawai SPRM atas profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang proses rakaman keterangan pada hari ini,” ujarnya.

Yee Vonne berkata, beliau memahami bahawa pegawai SPRM hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka serta menghormati sepenuhnya peranan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berpandangan sumber dan perhatian SPRM seharusnya ditumpukan kepada perkara lain yang lebih mendesak dan berkepentingan awam.

Katanya, KLSCAH merupakan sebuah bangunan warisan kebangsaan yang mempunyai nilai sejarah dan kebudayaan yang amat penting serta wajar mendapat sokongan dan perlindungan bersama bukannya terus menjadi bahan kontroversi.