Sindiket sasar pusat hiburan jual paket dadah berperisa RM300 tumpas

Iklan
Ahmad Azwan (tiga dari kiri) menunjukkan paket dadah yang dirampas dalam serbuan di kondominium sekitar ibu negara Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan pusat hiburan serta pelanggan dalam kalangan warga asing melalui penjualan paket minuman berperisa mengandungi dadah berjaya dibongkar polis dalam operasi yang dijalankan pada Isnin lalu.

Serbuan hasil risikan dan maklumat yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu membawa kepada penahanan enam lelaki warga China menerusi tiga serbuan berasingan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, serbuan pertama pada jam 9.30 pagi di sebuah kondominium di Jalan Galloway, Bukit Bintang berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai penghantar atau runner sindiket.

Menurutnya, dalam serbuan kedua di sebuah lagi unit kondominium, empat suspek berjaya diberkas bersama rampasan 87 paket dadah pelbagai warna yang dianggarkan bernilai RM79,650.

Iklan

"Pada hari sama kira-kira jam 4.15 petang, seorang lagi suspek ditahan di sebuah kondominium di Jalan Yap Kwan Seng dengan rampasan 36 paket plastik yang disyaki mengandungi dadah bernilai RM970,000," katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi pada Khamis.

Pelbagai barang kes dirampas membabitkan sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan polis Isnin lalu.

Iklan

Beliau berkata, keseluruhan rampasan melibatkan serbuk disyaki MDMA seberat kira-kira tujuh kilogram bernilai RM1.05 juta, serbuk kristal disyaki methamphetamine seberat 230 gram bernilai RM230 serta 13.14 gram serbuk ketamin bernilai RM657.

Menurutnya, sindiket itu menggunakan kondominium yang mempunyai kawalan keselamatan ketat sebagai stor simpanan dan lokasi pembungkusan semula dadah MDMA ke dalam paket minuman berperisa bagi menarik minat pelanggan.

"Setiap paket dipercayai dijual pada harga antara RM300 hingga RM350 di pusat hiburan sekitar ibu negara," katanya.

Ahmad Azwan berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek merupakan ahli sindiket yang sama dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.

Beliau berkata, lima suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi direman selama empat hari mengikut Seksyen 12(2) akta yang sama.

"Polis akan terus memerangi musuh nombor satu negara dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi Hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.