PASIR MAS - Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Bechah, Tendong di sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 1.45 petang itu, mangsa, Muhammad Saiful Haider Saiful Nizam, 10, maut di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Hayyan, 6, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Sementara itu, abang sulung mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, yang merupakan pelajar diploma di sebuah kolej dikatakan mengalami patah kaki dan telah dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.
Ibu saudara, Noor Zuhanisya Mohd Noor, 35, berkata, dia mengetahui tentang kejadian yang menimpa tiga anak saudaranya itu kira-kira jam 2.15 petang.
"Saya terus ke lokasi dan melihat Muhammad Saiful Haider sudah tiada.
"Manakala dua beradik lagi telah dibawa ke HRPZ II," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas di sini pada Khamis.
Menurut dia, Muhammad Saiful Haider merupakan anak ketiga, manakala Muhammad Saiful Hayyan pula keempat daripada lima beradik.
Ujarnya, kejadian itu berlaku dipercayai ketika Muhammad Saiful Haikal hendak mengambil Muhammad Saiful Haider di Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1.
Dia dimaklumkan Muhammad Saiful Hayyan dibawa bersama kerana ingin mengikut abang sulungnya itu.
Saksi kejadian, Mohd Rosli Awang Ngah, 47, berkata, dia dikejutkan dengan motosikal yang dinaiki tiga beradik itu merempuh kedainya.
"Hanya motosikal terbabas masuk dalam kedai manakala penunggang dan pembonceng jatuh bergelimpangan atas jalan dan seorang tercampak masuk ke dalam pagar rumah sebelah," katanya.
Menurut Mohd Rosli, dia dalam keadaan panik terus mencari payung untuk menutup mangsa yang basah terkena hujan.
"Saya menitis air mata melihat mereka bertiga berlumuran darah.
"Paling kritikal Muhammad Saiful Haider yang tercampak ke dalam pagar rumah dan orang ramai sempat mengajarnya mengucap," katanya.