KUALA LUMPUR – Selangor mencatatkan jumlah kes jangkitan HIV tertinggi di Malaysia pada tahun 2025 dengan 896 kes atau 32 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.
Menurut laporan yang dikongsikan menerusi portal kesihatan awam, MyHEALTH, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing berada di kedudukan kedua tertinggi dengan 11 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Berdasarkan infografik Taburan HIV Mengikut Negeri Malaysia 2025 yang memetik data Sektor Kawalan HIV, STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sabah merekodkan 325 kes manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan 324 kes.
Johor berada di kedudukan seterusnya dengan 232 kes atau lapan peratus, diikuti Sarawak sebanyak 205 kes (tujuh peratus) dan Pulau Pinang dengan 181 kes (enam peratus).
Perak pula merekodkan 113 kes atau empat peratus, manakala Pahang mencatatkan 105 kes dengan peratusan yang sama.
Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan 84 kes atau tiga peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.
Sementara itu, Terengganu mencatatkan 70 kes (2.5 peratus), diikuti Melaka sebanyak 56 kes (dua peratus), Perlis dengan 28 kes (satu peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 14 kes (0.5 peratus).
Sehubungan itu, portal MyHEALTH menyeru orang ramai supaya sentiasa peka terhadap status kesihatan masing-masing serta mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi membendung penularan jangkitan HIV.