KUALA TERENGGANU – Kerajaan berjaya mengurangkan kadar hutang negara secara berperingkat daripada RM100 bilion setahun kepada RM70 bilion setahun hasil pengurusan kewangan yang cermat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan sesetengah pihak yang menuduh hutang negara semakin meningkat ketika pentadbirannya adalah tidak tepat.
Menurutnya, ketika mula mengambil alih pentadbiran negara, hutang baharu tahunan adalah sekitar RM100 bilion sebelum berjaya diturunkan kepada RM90 bilion, RM80 bilion dan kini hanya RM70 bilion setahun.
"Orang kata, 'Oh, masa Anwar sekarang hutang tinggi'. Tak betul. Hutang baru kita kurang. Dulu, masa saya ambil alih, hutang satu tahun RM100 bilion. Perlahan-lahan turun RM90 bilion, RM80 bilion, sekarang hutang hanya RM70 bilion satu tahun.
"Tapi dia kata 'Tak, sebab jumlah hutang sama'. Iyalah hutang lama. Hutang lama itu ada faedah, dia kena bayar. Itu yang nampak berlonggok besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Terengganu di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan kerajaan kini masih menanggung beban membayar hutang lama melibatkan beberapa agensi dan syarikat berkaitan kerajaan bagi mengelakkan negara menjadi muflis.
Jelasnya, ia termasuk kerugian melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM50 bilion, selain Tabung Haji dan Felda yang masing-masing berjumlah RM10 bilion.
"Hutang 1MDB sampai sekarang saya kena bayar. Hutang Tabung Haji, hutang Felda kita kena bayar. Tiap tahun saya kena bayar hampir RM1 bilion (RM980 juta) hutang lama Felda.
"Kalau tak bayar, gulung Felda. Tabung Haji pula kita kena tampung. Kalau tak bayar, duit jemaah macam mana? Nak pergi haji macam mana?" soalnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penjimatan dan pengurusan fiskal yang baik membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk membantu golongan peniaga dan usahawan kecil menerusi inisiatif Usahawan Bangkit.
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan segera berjumlah RM500,000 bagi membantu kesemua Usahawan Bangkit di Terengganu, selain memaklumkan peruntukan tambahan akan diteruskan pada tahun hadapan menerusi belanjawan negara.