UNGKAPAN seperti “kutip senang, agih kemain susah” kadangkala kedengaran apabila timbul persoalan mengenai kelancaran bantuan disalurkan kepada golongan asnaf, khususnya mereka yang benar-benar memerlukan.
Persoalan ini tidak boleh dipandang ringan kerana kepercayaan masyarakat merupakan asas penting dalam memastikan pengurusan zakat terus mendapat sokongan. Justeru, bagi memastikan pengurusan zakat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan berkesan, pendekatan pengkhususan fungsi kutipan dan agihan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.
Melalui pendekatan ini, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kutipan serta memudahkan urusan pembayaran zakat, manakala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi fokus kepada pengurusan agihan dan pembangunan asnaf.
Kedua-dua fungsi ini saling melengkapi dalam memastikan setiap amanah zakat yang ditunaikan oleh masyarakat dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kebajikan dan kesejahteraan golongan asnaf.
Berdasarkan rekod sehingga 17 November 2026, jumlah kutipan zakat direkodkan sebanyak RM837.70 juta, manakala jumlah agihan mencapai RM991.38 juta. Perbezaan angka ini menunjukkan betapa besarnya keperluan untuk memastikan kutipan zakat terus diperkukuh bagi menyokong keperluan golongan asnaf yang sentiasa berkembang.
Ini kerana keperluan golongan asnaf tidak terhad kepada satu tempoh tertentu. Di bandar seperti Kuala Lumpur, ramai yang berdepan kos sara hidup tinggi walaupun mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap.
Golongan miskin bandar ini mungkin tidak kelihatan susah, namun masih bergelut untuk menampung perbelanjaan harian, sewa rumah, pengangkutan dan keperluan keluarga. Justeru, bantuan bagi keperluan asas, pendidikan dan rawatan perubatan perlu disediakan secara berterusan.
Usaha meningkatkan kutipan zakat amat penting bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan dapat disantuni dan dibantu. Dalam memastikan urusan pembayaran zakat lebih mudah, PPZ-MAIWP turut memperluas penggunaan kemudahan digital bagi membantu masyarakat mengenal pasti kewajipan zakat masing-masing.
Antaranya menerusi Kalkulator ZakatKu yang membolehkan pengguna memilih kategori berdasarkan profil dan sumber pendapatan, sebelum mengenal pasti jenis harta yang dimiliki seperti simpanan, emas dan perak.
Pengguna seterusnya boleh membuat pengiraan dan meneruskan pembayaran melalui kemudahan yang disediakan. Selain itu, aplikasi MyZakat turut menjadi antara saluran digital untuk memudahkan urusan pembayaran, manakala perkhidmatan Zakat Personal Assistant diperkenalkan bagi mendekatkan perkhidmatan zakat kepada masyarakat.
Bagi mereka yang lebih selesa berurusan secara bersemuka, kaunter PPZ-MAIWP terus beroperasi sebagai pilihan. Sepanjang Disember, perkhidmatan kaunter turut dipertingkatkan dengan operasi tujuh hari seminggu, selain waktu operasi dilanjutkan sehingga jam 9 malam dari 26 hingga 31 Disember bagi memberi lebih ruang kepada masyarakat menyelesaikan kewajipan zakat sebelum penghujung tahun.
Pada masa sama, pembayaran zakat bukan sekadar memenuhi tanggungjawab agama, malah turut disertai manfaat tertentu kepada pembayar yang layak. Antaranya Skim Kafalah Muzakki yang menyediakan manfaat khairat kematian sehingga RM3,000, tertakluk kepada syarat kelayakan.
Pembayaran zakat yang memenuhi ketetapan juga layak mendapat rebat cukai pendapatan sehingga 100 peratus, tertakluk kepada peruntukan dan syarat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN). Selain itu, melalui Skim Wakalah, pembayar zakat yang layak boleh mengagihkan sebahagian daripada zakat yang telah dibayar kepada golongan asnaf mengikut ketetapan yang ditetapkan.
Namun, keberkesanan sistem zakat bukan hanya bergantung kepada jumlah kutipan dan kemudahan pembayaran. Ketepatan maklumat serta proses mengenal pasti penerima bantuan juga memainkan peranan penting bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.
Sehubungan itu, MAIWP turut menyediakan kemudahan Mobile Jejak Asnaf (MoJA) yang membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai individu atau keluarga yang dipercayai memerlukan bantuan. Dalam masa sama, ketepatan maklumat yang diberikan oleh pemohon bantuan amat penting.
Sebarang maklumat yang tidak tepat, termasuk penyembunyian pendapatan atau aset, boleh menjejaskan proses penilaian kelayakan dan berisiko menyebabkan bantuan tidak sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukannya.
Ketika ini, MAIWP menyediakan 38 skim bantuan zakat bagi memenuhi pelbagai keperluan asnaf yang layak, termasuk bantuan keperluan asas, pendidikan, perubatan dan usaha meningkatkan taraf kehidupan.
Kepelbagaian skim ini mencerminkan bahawa pengurusan zakat bukan sekadar memberi bantuan untuk kelangsungan hidup, tetapi turut membuka ruang kepada penerima untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan masyarakat, PPZ-MAIWP turut melaksanakan kempen Year End Zakat (YEZ) 2026 yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember 2026 dengan tema “Sempurna Bersama”. Kempen bertemakan “Membina Generasi Zakat” ini mengajak masyarakat Islam menyempurnakan kewajipan zakat sebelum atau pada 31 Disember 2026, di samping meningkatkan kefahaman bahawa setiap sumbangan zakat mempunyai peranan dalam membantu kelangsungan hidup golongan yang memerlukan.
Akhirnya, tanggungjawab memastikan kebajikan asnaf terus terbela bukan terletak pada satu pihak semata-mata. Ia memerlukan kerjasama antara institusi zakat, masyarakat dan para pembayar zakat.
Semakin ramai masyarakat menunaikan zakat melalui saluran yang sah, semakin besar potensi sumber yang dapat dikumpulkan untuk menyokong keperluan asnaf.
Namun, kepercayaan terhadap institusi zakat perlu terus dipelihara melalui pengurusan yang telus, proses agihan yang bertanggungjawab dan bantuan yang sampai kepada golongan yang benar-benar layak. Kerana akhirnya, zakat bukan sekadar tentang berapa banyak yang berjaya dikutip, tetapi sejauh mana amanah itu dapat diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk mereka yang memerlukan.