Banjir Bukit Changgang: Penduduk bimbang banjir termenung berulang

Iklan
Tangkap layar hantaran ustazbunga di platform Threads pada Khamis

KUALA LANGAT – Keadaan banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang pada pagi Khamis disifatkan agak teruk, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk terhadap kemungkinan fenomena banjir termenung berulang di kawasan berkenaan.

Perkembangan itu dikongsikan seorang pengguna aplikasi Threads menggunakan nama akaun ustazbunga menerusi satu hantaran video kira-kira jam 9.30 pagi yang memaparkan laluan utama di kawasan berkenaan dinaiki air.

Iklan
Iklan

"Keadaan RTB Bukit Changgang pagi ni, boleh tahan teruk dekat sana. Bertabah la penduduk sana," tulisnya menerusi hantaran yang setakat ini meraih 3,421 tontonan.

Tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai turut bertanyakan keadaan semasa di kawasan perumahan berhampiran, termasuk pengguna mawaddahzulkefli yang meminta bantuan untuk meninjau keadaan di Lorong Bunga Raya 2.

Iklan

Bagaimanapun, pemilik hantaran memaklumkan lokasi berkenaan berada di luar kawasan yang ditinjaunya.

Seorang lagi pengguna, eonezack, meluahkan kebimbangan bahawa banjir termenung mungkin berulang seperti yang pernah berlaku sebelum ini susulan kejadian ban pecah dan fenomena air pasang.

Iklan

"Banjir termenung kat Bukit Changgang bakal berulang kembali. Dulu pun pasal ban pecah dan air pasang. Sian (kasihan) orang Bukit Changgang," katanya.

Kebimbangan itu turut dipersetujui pemilik akaun ustazbunga ketika membalas komen pengguna mat.zahar.7, dengan menyifatkan keadaan banjir termenung berkenaan akan mengambil masa yang lama untuk surut.

Terdahulu, kawasan RTB Bukit Changgang dilanda banjir susulan kejadian ban pecah pada pagi Rabu yang turut menjejaskan beberapa kawasan sekitar Kuala Langat dan Sepang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan berkata kejadian banjir itu berpunca daripada ban pecah akibat aliran air luar biasa deras dari kawasan Hulu Langat dan Sepang serta fenomena air pasang besar.

Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan segera bagi membaiki ban yang pecah itu dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan serta keselamatan penduduk yang terjejas kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Setakat Khamis, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kuala Langat, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang yang menempatkan 147 mangsa dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu dengan 16 mangsa.