Banjir RTB Bukit Changgang: Keadaan 'air termenung', pasukan penyelamat tingkat rondaan

Iklan
Keadaan banjir akibat ban pecah di RTB Bukit Changgang pada Khamis. Foto: JBPM SELANGOR

KUALA LANGAT - Pasukan penyelamat mempertingkat rondaan di setiap lorong bagi memastikan penduduk di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini yang terjejas akibat ban pecah dapat dipindahkan dengan selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, setakat jam 8 pagi ini, seramai 783 penduduk terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua mangsa terdiri daripada 241 keluarga yang membabitkan golongan dewasa, kanak-kanak, bayi, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) diiring Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad (kanan) meninjau operasi banjir di RTB Bukit Changgang pada Rabu. Foto: JBPM SELANGOR

Iklan

"Dilaporkan ban pecah sekitar jam 6 pagi semalam (Rabu) hingga menyebabkan limpahan air agak laju ke kawasan ini (RTB Bukit Changgang).

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi, antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat serta Bomba Sukarela.

Iklan

"Rondaan dipertingkat menggunakan pacuan empat roda dan lori dengan keutamaan diberikan kepada golongan warga emas, kanak-kanak, OKU dan wanita untuk dibawa ke PPS yang diwujudkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, keadaan banjir didapati semakin surut, namun paras air masih dalam keadaan 'termenung'.

Tambahnya, penduduk turut diingatkan supaya berhati-hati, tidak bermain air banjir di kawasan parit atau lubang serta menjauhi kawasan berarus deras.

Pasukan penyelamat membawa keluar penduduk terjejas ke PPS SK RTB Bukit Changgang. Foto: JBPM SELANGOR

"Kita melaksanakan rondaan di setiap lorong dan berharap kerja-kerja tambakan ban dapat disiapkan.

"Dua pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga berfungsi dengan baik bagi memastikan limpahan air dari perkampungan dapat disalirkan semula ke sungai," ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan JPS giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan bagi menutup bahagian ban yang pecah di kawasan RTB Bukit Changgang dalam tempoh 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, kerja-kerja pemulihan segera itu dilakukan susulan insiden ban pecah pada pagi Rabu yang mengakibatkan banjir di kawasan berkenaan.