KUALA LANGAT - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) giat melaksanakan kerja pemulihan bagi menutup bahagian ban yang pecah di kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bukit Changgang di sini, dalam tempoh 24 jam tertakluk kepada keadaan cuaca.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pemulihan segera itu susulan insiden ban pecah pagi Rabu yang mengakibatkan banjir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada aliran air yang luar biasa deras dari kawasan Hulu Langat dan Sepang, selain diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar.
"Dua pam bergerak turut digerakkan bersama pam statik sedia ada bagi membantu mempercepatkan air surut di kawasan RTB Bukit Changgang," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, beliau meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang bagi menyantuni penduduk terjejas, selain turut turun padang ke lokasi ban pecah untuk melihat sendiri kerja-kerja pemulihan yang sedang dilaksanakan.
Dalam lawatan itu, beliau juga mendapatkan taklimat terkini berhubung situasi semasa daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Langat dan JPS.
Amirudin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan berusaha sedaya upaya menangani situasi berkenaan.
"Keselamatan serta kebajikan penduduk yang terjejas akan terus menjadi keutamaan," tambahnya.