Gangguan LRT Kelana Jaya, empat stesen masih terjejas

Iklan
Kerja-kerja baik pulih gangguan bekalan kuasa landasan yang menjejaskan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya antara empat stesen masih giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid KL

SUBANG JAYA - Kerja-kerja baik pulih gangguan bekalan kuasa landasan yang menjejaskan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya antara empat stesen masih giat dijalankan oleh pasukan teknikal Rapid KL.

Empat stesen terjejas ialah Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.

Iklan
Iklan

Rapid KL dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma akan terus disediakan sepanjang kerja-kerja baik pulih bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak enam bas perantara disediakan untuk operasi ulang-alik antara empat stesen berkenaan.

Iklan

"Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif, termasuk Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Shah Alam, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya, atau mendapatkan pengangkutan alternatif lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing," menurut kenyataan itu.

Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama penumpang sepanjang gangguan perkhidmatan berkenaan.

Iklan

Penumpang disarankan mengikuti laman media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi perjalanan MyRapid PULSE untuk mendapatkan status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya yang akan disalurkan dari semasa ke semasa.