KAHERAH - Seramai 31 orang maut manakala 21 lagi cedera selepas sebuah lori tangki membawa bahan api hilang kawalan sebelum terbalik dan terbakar di sebuah lebuh raya di Kaherah, Mesir pada Rabu malam.
Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan, mangsa cedera mengalami kecederaan melecur dan sesak nafas akibat terhidu asap sebelum menerima rawatan di hospital berhampiran.
Memetik laporan BBC, kejadian berlaku di laluan jalan lingkar di kawasan Warraq, utara pusat bandar lama Kaherah.
Rakaman video tersebar di media sosial menunjukkan api marak bersama kepulan asap hitam tebal menjulang ke udara, selain beberapa kenderaan berhampiran turut terbakar.
Menurut laporan media kerajaan, lori tangki dipercayai terbalik sehingga menyebabkan petrol tertumpah ke atas kenderaan lain sebelum kebakaran merebak.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca sebenar kejadian.
Akhbar milik kerajaan, Al-Ahram melaporkan, lori tangki milik sebuah kontraktor swasta itu dipercayai hilang kawalan selepas kabel voltan tinggi terjatuh di hadapannya.
Keadaan itu menyebabkan lori itu melintasi pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar.
Pendakwa raya wilayah turut melancarkan siasatan berhubung kejadian itu serta mengarahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) diambil daripada mayat mangsa bagi tujuan pengecaman.
Kementerian Kesihatan Mesir berkata, sebanyak 39 ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat dan membawa mangsa ke hospital.
Pihak berkuasa kemudian membersihkan kawasan lebuh raya daripada bangkai kenderaan yang terbakar sebelum laluan berkenaan dibuka semula kepada pengguna.