BEIJING – Presiden China, Xi Jinping terus memperluas kempen antirasuah apabila seorang lagi pemimpin kanan Parti Komunis China (CCP), Chen Jining disiasat atas dakwaan melakukan pelanggaran serius disiplin dan undang-undang.
Chen, 62, yang juga anggota Politburo serta Setiausaha Parti Komunis di Shanghai, kini menjadi pegawai keempat dalam badan kepimpinan tertinggi parti itu yang berdepan siasatan sejak 2025.
Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI), badan pemantau antirasuah tertinggi CCP, mengumumkan siasatan berkenaan pada Selasa.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan secara terperinci bentuk kesalahan yang disyaki dilakukan Chen.
Frasa 'pelanggaran serius disiplin dan undang-undang' lazim digunakan pihak berkuasa China bagi merujuk kepada siasatan berkaitan rasuah.
Perkembangan itu mencetuskan reaksi dalam kepimpinan Parti Komunis di Shanghai apabila beberapa pegawai kanan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam Selasa bagi membincangkan siasatan terhadap Chen.
Menurut laporan akhbar rasmi parti, Jiefang Daily, pemimpin berkenaan menyatakan sokongan terhadap usaha Xi memperkukuh disiplin parti dan berikrar untuk terus menunjukkan kesetiaan kepada kepimpinan pusat.
Mereka turut menegaskan kempen membanteras rasuah tidak akan dihentikan atau diperlahankan, sebaliknya akan diteruskan secara menyeluruh.
Chen kali terakhir dilihat menghadiri acara rasmi pada minggu lalu dan kedudukannya selepas pengumuman siasatan itu masih belum diperincikan.
Chen merupakan antara tokoh berpengaruh dalam politik China dan sebelum ini dilihat berpotensi dinaikkan ke jawatan lebih tinggi dalam rombakan kepimpinan parti yang dijadualkan tahun depan.
Beliau memegang jawatan Setiausaha Parti Komunis Shanghai sejak 2022, selepas pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Beijing dan Menteri Perlindungan Alam Sekitar.
Sebelum menyertai kerajaan, Chen mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan alam sekitar dan pernah mengetuai Universiti Tsinghua, antara institusi pengajian tinggi terkemuka China.
Jawatan ketua parti di Shanghai dianggap antara kedudukan politik paling berpengaruh di peringkat wilayah kerana bandar itu merupakan pusat kewangan, perdagangan dan perindustrian utama negara berkenaan.
Presiden Xi sendiri pernah memegang jawatan sama pada 2007 sebelum menyertai Jawatankuasa Tetap Politburo.
Xi melancarkan kempen besar-besaran membanteras rasuah sejak mengambil alih kepimpinan parti pada 2012.
Sepanjang tempoh itu, beberapa pegawai kanan kerajaan, tentera dan parti turut disiasat atau disingkirkan daripada jawatan masing-masing.
Antara tokoh yang sebelum ini menjadi sasaran siasatan termasuk bekas pegawai kanan tentera Zhang Youxia dan He Weidong serta bekas ketua Parti Komunis di Xinjiang, Ma Xingrui.
Penganalisis melihat siasatan terhadap Chen sebagai petunjuk bahawa kempen antirasuah Xi terus menjangkau kelompok kepimpinan tertinggi, termasuk individu yang sebelum ini dianggap mempunyai prospek untuk menduduki jawatan lebih berpengaruh.
Bagaimanapun, setakat ini pihak berkuasa China belum mengumumkan pertuduhan rasmi terhadap Chen atau mendedahkan hasil siasatan berkenaan.- Agensi