Misteri lebuh raya bertukar ungu terjawab

Iklan
Gambar dan rakaman jalan raya berwarna ungu itu pantas tersebar di media sosial. Foto Agensi

NEW YORK – Pemandu di beberapa lebuh raya di New Jersey dan New York, Amerika Syarikat (AS), terkejut apabila menemui kesan jalur berwarna ungu sejauh beberapa kilometer sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai fenomena luar biasa itu.

Perkara tersebut dikesan di beberapa laluan utama termasuk Interstate 287 (I-287), Interstate 78 (I-78), Laluan 23 serta New York State Thruway sejak Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Gambar dan rakaman jalan raya berwarna ungu itu pantas tersebar di media sosial, dengan pengguna mengemukakan pelbagai teori termasuk tumpahan jus ubi bit, bahan kimia pencair ais dan dakwat industri.

Ada juga yang mengaitkan fenomena itu secara berseloroh dengan watak kartun berwarna ungu seperti Barney dan maskot Grimace milik McDonald's.

Iklan

Bagaimanapun, misteri itu akhirnya terjawab selepas pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap bahan berkenaan.

Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar Negeri New York memaklumkan bahan tersebut merupakan pewarna organik larut air yang digunakan dalam proses mencuci kenderaan.

Iklan

Bahan itu dipercayai tertumpah daripada sebuah treler milik sebuah syarikat logistik ketika melalui beberapa laluan di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan pihak berkuasa New Jersey turut mengenal pasti bahan berkenaan sebagai sorbitan monopalmitate, sebatian yang digunakan dalam produk makanan, kosmetik dan farmaseutikal.

Pasukan Hazmat Somerset County yang menjalankan ujian awal mengesahkan bahan tersebut tidak berbahaya.

Jabatan Pengangkutan New Jersey turut memberi jaminan bahawa kesan tumpahan itu tidak menimbulkan ancaman terhadap kesihatan awam atau alam sekitar.

Pengguna jalan raya yang menemui kesan ungu itu sebelum ini bimbang kemungkinan bahan kimia berbahaya telah mencemari permukaan lebuh raya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan laluan terbabit masih selamat digunakan dan tiada ancaman kesihatan dikenal pasti hasil pemeriksaan awal.

Pihak berkuasa New York turut berhubung dengan pengurusan lebuh raya negeri bagi memantau keadaan serta membantu kerja pembersihan sekiranya diperlukan.

Menariknya, pihak berkuasa New Jersey dilaporkan tidak merancang untuk membersihkan kesan pewarna itu secara khusus, sebaliknya membiarkan hujan membantu menghilangkan sisa tumpahan berkenaan.

Insiden itu menjadi peringatan bahawa sesuatu fenomena luar biasa yang mencetuskan spekulasi di media sosial tidak semestinya berpunca daripada kejadian misteri, sebaliknya boleh mempunyai penjelasan saintifik dan teknikal.- Agensi