Budak empat tahun kritikal, pelajar kejururawatan tersalah suntik ubat

Iklan
Seorang pelajar kejururawatan didakwa menyuntik ubat yang sepatutnya dimakan terus ke dalam salur darah mangsa. Foto hiasan

GUJARAT – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kini bertarung nyawa selepas ubat yang sepatutnya diambil secara oral didakwa disuntik terus ke dalam salur darahnya ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Gujarat, India.

NDTV melaporkan mangsa, Aarvi Zala mengalami kemerosotan kesihatan secara mendadak selepas seorang pelajar kejururawatan sedang menjalani latihan klinikal didakwa tersalah memberikan ubat melalui suntikan intravena di Hospital Awam GMERS Civil, Vadnagar.

Iklan
Iklan

Bapa mangsa, Manoj Sinh Zala berkata, anaknya dibawa ke hospital berkenaan kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu untuk mendapatkan rawatan masalah otot kelopak mata yang menyebabkan bahagian itu terkulai.

Menurutnya, dua suntikan dijadualkan diberikan kepada anaknya ketika menjalani rawatan di wad pediatrik.

Iklan

Bagaimanapun, seorang pelajar kejururawatan didakwa menyuntik ubat yang sepatutnya dimakan terus ke dalam salur darah mangsa.

Keluarga mangsa mendakwa sudah memberi amaran bahawa ubat berkenaan perlu diberikan melalui mulut, namun suntikan tetap dilakukan.

Iklan

Keadaan Aarvi dilaporkan semakin serius apabila dia mengalami sawan dan tidak sedarkan diri pada Isnin sehingga tidak mampu bercakap atau berjalan.

Manoj berkata, ketika itu hanya pergerakan mata anaknya dapat dilihat, manakala kadar denyutan jantungnya meningkat secara tidak normal dan sukar dikawal.

Pasukan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) bersama kakitangan kejururawatan kemudian memberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum mangsa dipasang alat bantuan pernafasan.

Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital U.N. Mehta di Ahmedabad untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kanak-kanak empat tahun bertarung nyawa selepas didakwa tersalah menerima suntikan ubat di hospital.

Sementara itu, siasatan awal dijalankan susulan aduan bapa mangsa mendapati terdapat percanggahan keterangan antara pelajar terbabit dengan kakitangan hospital bertugas.

Pemangku Penguasa Perubatan Awam, Mukesh Vora berkata, seorang jururawat dikenali sebagai Ajay meminta pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan semester empat dari Kolej Kejururawatan Ratnaprabha untuk memberikan suntikan terbabit.

Menurutnya, permintaan itu dibuat selepas beberapa kakitangan kejururawatan lain dilaporkan enggan melaksanakan tugas tersebut.

Pelajar berkenaan mengakui memberikan suntikan atas arahan jururawat itu, namun mendakwa ubat sebenarnya diperuntukkan kepada pesakit lain.

Pihak hospital memaklumkan siasatan awal mendapati terdapat kecuaian daripada kedua-dua pihak.

Susulan kejadian itu, jururawat berkenaan digantung tugas serta-merta, manakala pihak pengurusan Kolej Kejururawatan Ratnaprabha turut diberikan notis rasmi supaya mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit.

Penempatan klinikal kira-kira 50 pelajar kejururawatan di hospital berkenaan turut digantung sehingga diberitahu kelak.

Pihak hospital juga akan menubuhkan jawatankuasa siasatan peringkat tinggi bagi meneliti prosedur pemberian ubat serta peranan semua individu yang terbabit dalam kejadian itu.

Tindakan tatatertib dan undang-undang tegas akan dikenakan terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab, sementara Aarvi masih menerima rawatan di Ahmedabad.