KUALA LUMPUR - Pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu di Kedah menerusi projek loji solar berskala besar dijangka menambah kapasiti penjanaan elektrik negara, khususnya bagi menyokong keperluan tenaga sektor industri dan pusat data.
Projek yang dibangunkan di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap itu turut membawa nilai pembangunan sehingga RM500 juta, sekali gus memperlihatkan perkembangan pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu di negeri berkenaan.
Loji berkapasiti 119.7 megawatt (MW) itu dibangunkan HLGY Energy Sdn Bhd dengan sasaran mula membekalkan tenaga elektrik menjelang Jun 2028.
Penasihat Kumpulan HLGY Energy, Levin Tan berkata, projek berkenaan menandakan penyertaan syarikat dalam pembangunan tenaga boleh baharu berskala besar menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
"Ini adalah projek penting yang menandakan penyertaan kami dalam CRESS dan kami mahu menjadi antara syarikat terawal yang menunjukkan komitmen dalam menyokong pembangunan ekosistem tenaga negara.
"Kami menjangkakan bekalan tenaga dapat disalurkan kepada pengguna menjelang Jun 2028," katanya selepas Majlis Menandatangani Perkongsian Strategik HLGY Energy di sini.
Projek berkeluasan kira-kira 121.4 hektar itu kini memasuki fasa pembangunan awal dengan kerja pembersihan dan penyediaan tapak sudah dimulakan, manakala kerja infrastruktur dijadualkan bermula pada suku pertama tahun depan.
Selain kapasiti solar fotovolta (PV) sebanyak 119.7 MW, loji berkenaan turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 240.72 megawatt jam (MWh).
Apabila beroperasi kelak, kemudahan itu dijangka mampu menjana kira-kira 224 gigawatt jam (GWh) tenaga elektrik setahun.
Menurut Levin, pembangunan loji berkenaan turut mengintegrasikan teknologi automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan operasi.
"Kami mahu membangunkan sebuah loji solar pintar dengan mengintegrasikan teknologi AI, automasi dan penggunaan dron bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta operasi," katanya.
Dari segi penyaluran tenaga, Bridge Data Centres Malaysia IV Sdn Bhd dikenal pasti sebagai pembeli tenaga korporat bagi projek berkenaan.
Bekalan elektrik yang dijana di Kedah akan disalurkan menerusi grid nasional di bawah mekanisme CRESS kepada kemudahan pusat data Bridge Data Centres di Johor.
"Buat masa ini, Bridge Data Centres adalah pembeli tenaga bagi projek berkenaan. Keupayaan loji untuk memenuhi keperluan tenaga sesebuah pusat data bergantung kepada kapasiti dan permintaan elektrik kemudahan terbabit.
"Permintaan tenaga daripada pusat data semakin meningkat dan tenaga boleh baharu mempunyai peranan penting dalam membantu memenuhi keperluan itu," katanya.
Pembangunan projek itu turut mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) selaku pemaju induk dan pemilik tanah di kawasan perindustrian berkenaan.
Bagi menyokong pelaksanaannya, HLGY Energy memperoleh kemudahan pembiayaan berjangka berjumlah RM360 juta daripada AmBank Islamic Bhd.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara HLGY Energy dengan lima rakan kongsi iaitu Bridge Data Centres Malaysia IV Sdn Bhd, AmBank Islamic Bhd, Mabcon Energy Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan Asia CarbonX Change PLT.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Tenaga Lestari Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Rosmahyuddin Baharuddin serta Pengerusi merangkap Pengarah Eksekutif HLGY Energy, Kenneth Yap Kian Hoong