IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bakal memiliki kompleks pejabat baharu menerusi projek pembangunan yang dirancang bagi meningkatkan keupayaan operasi dan penyampaian perkhidmatan agensi berkenaan.
Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Siti Nor Minu berkata, perancangan teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan kompleks berkenaan memenuhi keperluan operasi, keselamatan serta fungsi organisasi untuk jangka masa panjang.
"Setiap keperluan yang dikenal pasti perlu berdasarkan fungsi, kapasiti pengguna dan kemampuan peruntukan, selain mengambil kira keperluan operasi semasa serta masa hadapan organisasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Client Brief of Requirements (CBOR) bagi Projek Pembinaan Kompleks Pejabat SPRM Kedah yang berlangsung dari 22 hingga 24 November di Hotel Dusit Princess, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, ujarnya, semua pakar bidang atau Subject Matter Expert (SME) perlu mengemukakan input berdasarkan keperluan sebenar pelaksanaan tugas dan fungsi masing-masing, selain memberikan justifikasi jelas dengan mengambil kira kepentingan organisasi secara menyeluruh.
Katanya, aspek keselamatan, kerahsiaan maklumat, privasi dan kawalan akses turut menjadi keutamaan, khususnya bagi ruang kerja yang membabitkan fungsi penguatkuasaan dan pencegahan SPRM.
Tambahnya, terdapat empat prinsip utama yang perlu diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan projek berkenaan.
"Antaranya kecekapan kos dan nilai untuk wang, keperluan fungsi dan operasi, keselamatan dan kerahsiaan serta kelestarian dan keperluan masa hadapan.
"Perancangan juga perlu mengambil kira penggunaan teknologi, kecekapan tenaga, kemudahan digital, aksesibiliti serta fleksibiliti ruang bagi memastikan kompleks berkenaan mampu memenuhi perubahan keperluan organisasi," katanya.
Menurutnya, setiap keperluan yang dikemukakan mempunyai implikasi terhadap kos pembinaan, keluasan bangunan, tempoh pelaksanaan dan penyelenggaraan.
"Sebarang permintaan tambahan selepas skop dan keperluan dimuktamadkan berpotensi menyebabkan perubahan reka bentuk, peningkatan kos serta kelewatan pelaksanaan projek.
"Kesepakatan semua SME pada peringkat CBOR amat penting bagi mengurangkan risiko perubahan skop sepanjang pelaksanaan projek," katanya.
Jelasnya, kompleks berkenaan bukan sekadar sebuah bangunan pejabat, sebaliknya aset strategik yang perlu menyokong keberkesanan fungsi SPRM dalam melaksanakan amanah pencegahan dan penguatkuasaan rasuah.
Turut hadir, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong dan Arkitek Penguasa Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohd Amir Mohd Dali.