Isu tular tak jejas jualan Gardenia KL

Iklan
Proses penghasilan produk Gardenia KL yang ketat.

SHAH ALAM - Isu tular membabitkan dakwaan masalah keselamatan makanan terhadap produk Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd tidak menjejaskan prestasi jualan syarikat tersebut, malah jualannya terus menunjukkan peningkatan.

Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd, Yazli Muhamad Saleh berkata, prestasi jualan syarikat kekal positif meskipun berdepan isu yang mendapat perhatian pengguna di media sosial baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Gardenia memandang serius perkara berkenaan dan telah mengambil langkah menjalankan pengujian sampel produk di makmal bebas yang bertauliah bagi memastikan keselamatan produk keluarannya.

Proses penghasilan produk Gardenia KL melalui pemantauan kualiti dan kawalan keselamatan makanan yang ditetapkan syarikat.

Iklan

"Berhubung kes terbaharu yang berlaku baru-baru ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah telah hadir menjalankan pemeriksaan dan siasatan sebagai sebahagian daripada prosedur kesihatan mereka.

"Kami juga telah menghantar sampel produk ke makmal bebas yang bertauliah, iaitu makmal luar dan bukannya makmal dalaman syarikat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jalinan Media Gardenia KL 2026, di sini, pada Selasa.

Yazli berkata, pemeriksaan KKM mendapati tiada masalah berkaitan ketidakpatuhan terhadap proses dan prosedur pengeluaran yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan makanan.

Katanya, pihak KKM turut mengambil sampel untuk dianalisis di makmal mereka sendiri, namun keputusan ujian berkenaan masih belum diterima setakat ini.

"Namun, berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan pada 10 November lalu, keputusan ujian makmal yang dijalankan mendapati tiada masalah berdasarkan parameter pengujian yang ditetapkan sehingga boleh menyebabkan keracunan makanan," katanya.

Jelas beliau, Gardenia KL mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP), prosedur Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal atau Hazard Analysis and Critical Control Point Procedure (HACCP) serta sistem pengurusan keselamatan makanan ISO 22000, dalam operasi.

"Melalui standard ini, setiap peringkat dalam proses pengeluaran mempunyai titik kawalan dan piawaian tersendiri yang perlu dipatuhi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yazli berkata, Gardenia juga tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan harga produk buat masa ini meskipun berdepan peningkatan kos operasi dan bahan mentah.

Ujar beliau, syarikat masih mampu mengawal kos pengeluaran menerusi perancangan pembelian bahan mentah lebih awal.

"Saya rasa semua industri turut terkesan dengan peningkatan kos ketika ini. Bagaimanapun, Alhamdulillah, setakat ini Gardenia masih mampu mengawal kos pengeluaran.

"Untuk makluman, pembelian bahan mentah kami dilakukan melalui tempahan lebih awal. Kaedah ini membolehkan kami mengawal kos dengan lebih baik," katanya.

Ditubuhkan pada tahun 1986, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. merupakan antara pengeluar roti terkemuka di Asia Tenggara. Gardenia KL mengendalikan tujuh kilang di Semenanjung Malaysia dan menghasilkan 67 jenis produk setiap hari. Rangkaian produknya merangkumi roti buku, roti ban, roti gulung, kek, wafel, sapuan, mi kuning dan mi segera.