Grab perjelas paparan pendapatan, pemandu kini boleh semak pecahan bayaran

Iklan
Penambahbaikan paparan pendapatan dalam aplikasi pemandu Grab membolehkan pemandu melihat pecahan pendapatan dengan lebih terperinci.

PERSATUAN Rakan Grab Malaysia (PRGM) menyambut baik penambahbaikan paparan pendapatan dalam aplikasi pemandu Grab yang dilaksanakan secara berperingkat sejak Jumaat lalu.

Persatuan itu berkata, penambahbaikan berkenaan membolehkan pemandu melihat pecahan pendapatan dengan lebih terperinci, termasuk tambang perjalanan, Bayaran Servis Grab (GSF), insentif, pampasan dan bayaran balik.

Iklan
Iklan

Menurut PRGM, langkah itu merupakan hasil libat urus berterusan dengan Grab Malaysia, bermula menerusi Rakan Representative Committee (RRC) sebelum diteruskan melalui penubuhan persatuan berkenaan.

"Penambahbaikan ini mencerminkan kesediaan Grab Malaysia mendengar pandangan rakan pemandu dan menterjemahkannya kepada tindakan, sekali gus menunjukkan kebajikan mereka turut diberi perhatian dalam keputusan syarikat," menurut kenyataan PRGM pada Selasa.

Iklan

Persatuan itu menjelaskan, terdapat dua paparan utama berkaitan GSF yang perlu difahami pemandu, iaitu GSF Kasar dan GSF Bersih mingguan.

Katanya, GSF Kasar menunjukkan nilai GSF bagi setiap perjalanan berdasarkan perbezaan antara tambang penumpang dengan pendapatan perjalanan, namun belum mengambil kira insentif Grab yang belum dimuktamadkan.

Iklan

Sementara itu, GSF Bersih mingguan memberikan gambaran lebih menyeluruh kerana mengambil kira insentif dan pampasan Grab yang berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, pemandu disaran merujuk ringkasan mingguan bersama butiran setiap perjalanan bagi mendapatkan gambaran lengkap mengenai pendapatan mereka.

PRGM turut menegaskan paparan GSF mingguan bukan caj baharu, manakala kaedah pengiraan GSF bagi setiap perjalanan kekal tidak berubah.

Dalam pada itu, persatuan berkenaan menjelaskan insentif hanya akan dipaparkan selepas kelayakan disahkan dan bayaran dibuat, selain terdapat insentif yang mungkin direkodkan dalam tempoh berikutnya.

Insentif bulanan, insentif gabungan pengangkutan dan penghantaran, tip serta caj serahan seperti tol pula tidak termasuk dalam pengiraan purata GSF mingguan.

PRGM turut mengingatkan pemandu supaya membezakan kutipan tunai daripada pendapatan kerana jumlah berkenaan mungkin merangkumi tunggakan bayaran penumpang bagi perjalanan yang dibatalkan sebelum ini serta caj serahan.

Bayaran balik pula dipaparkan secara berasingan dan tidak dimasukkan dalam jumlah pendapatan perjalanan berkenaan.

"Bagi menyemak pendapatan mingguan, pemandu boleh mengakses menu Pendapatan, Sejarah Kerja, Minggu dan seterusnya memilih Jumlah Pendapatan dalam aplikasi Grab," katanya.

PRGM berpandangan paparan lebih jelas itu mampu mengurangkan kekeliruan serta meningkatkan keyakinan dalam kalangan pemandu.

Persatuan itu turut menggesa pemandu supaya menyemak pecahan pendapatan dan mendapatkan penjelasan menerusi saluran rasmi sebelum membuat kesimpulan berdasarkan tangkap layar yang tidak lengkap atau dakwaan mengelirukan.

"Pada masa sama, PRGM berharap Grab Malaysia meneruskan penambahbaikan berdasarkan pengalaman sebenar pemandu bagi memastikan sistem berkenaan lebih mudah difahami, telus dan responsif terhadap keperluan mereka," katanya.