Vantris Energy perkukuh usaha pemulihan terumbu karang di Lang Tengah

Iklan
15 sukarelawan kakitangan Vantris Energy dikenali sebagai ‘Ocean Vanguards’ bekerjasama dengan pertubuhan pemuliharaan bukan keuntungan, Coralku untuk menanam 246 serpihan karang meliputi 15 Bintang Terumbu

VANTRIS Energy Berhad (Vantris Energy) memulakan program pemulihan terumbu karang selama setahun di Pulau Lang Tengah, Terengganu dengan melibatkan penyertaan langsung sukarelawan dalam kalangan kakitangannya.

Nadi penggerak inisiatif itu ialah 15 sukarelawan kakitangan Vantris Energy dikenali sebagai ‘Ocean Vanguards’yang baru-baru ini bekerjasama dengan pertubuhan pemuliharaan bukan keuntungan, Coralku untuk menanam 246 serpihan karang meliputi 15 Bintang Terumbu.

Iklan
Iklan

Struktur modular berkenaan direka bagi menyokong pemulihan karang dengan menyediakan asas untuk pencantuman dan pertumbuhan karang.

Selain aktiviti penanaman, Vantris Energy turut menyokong usaha pemantauan terhadap 15 struktur berkenaan sepanjang tahun akan datang bagi menilai tahap kesihatan dan kelangsungan hidup karang yang ditanam, selain memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

Iklan

Naib Presiden Kualiti, Kesihatan, Keselamatan, Keterjaminan, Kelestarian & Alam Sekitar Vantris Energy, Nhakhorn Somchit berkata, memandangkan operasi syarikat dilaksanakan berhampiran persekitaran marin yang sensitif, pihaknya memandang serius tanggungjawab dalam usaha membantu melindungi terumbu karang.

"Diterajui sukerelawan syarikat, program ini memperkasakan kakitangan kami untuk menampilkan diri dan memainkan peranan secara langsung dalam pemulihan karang.

Iklan

"Kesungguhan mereka mencurahkan masa dan tenaga mencerminkan budaya kebertanggungjawaban yang kami bina di seluruh Kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penglibatan Vantris Energy tidak berakhir apabila karang sudah ditanam, sebaliknya usaha pasukan disokong pemantauan dan penyenggaraan selama setahun untuk menjejak perkembangan pemulihan terumbu berkenaan.

”Program pemulihan terumbu karang dengan Coralku menggabungkan pendekatan pintar iklim berasaskan sains untuk mengukuhkan daya tahan karang. Sebahagian penting daripada inisiatif ialah mengenal pasti koloni karang dengan toleransi haba semula jadi lebih tinggi, membantu memberikan maklumat tentang pemilihan karang yang digunakan untuk pemulihan.

"Sejumlah 15 Terumbu Bintang ini telah ditanam dengan tiga spesies karang: Hydnophora rigida, yang lebih dikenali sebagai karang tanduk, serta Acropora gemmifera dan Acropora intermedia.

"Dengan menggabungkan karang yang dipilih berasaskan kajian daya tahan haba dengan pemulihan aktif, inisiatif ini berusaha menambah baik hasil proses pemulihan memandangkan karang kini menghadapi suhu lautan yang semakin tinggi," katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Coralku, Dr Natasha Zulaikha Zahirudin berkata, pihaknya menghargai sokongan Vantris Energy terhadap usaha pemulihan karang yang dijalankan di Pulau Lang Tengah.

Ujarnya, kerjasama dengan sektor korporat memainkan peranan penting dalam usaha merealisasikan projek pemulihan, namun sokongan terhadap aspek saintifik yang mendasarinya juga tidak kurang penting.

"Di Coralku, kerja pemuliharaan kami adalah berpandukan kajian dan pemantauan berterusan, membolehkan kami membuat keputusan maklum tentang jenis karang yang kami tanam dan cara kami menambah baik amalan pemulihan secara beransur ansur.

"Sokongan seperti ini membantu kami membina bukti asas yang lebih kukuh bagi pemuliharaan karang dan daya tahan terumbu," katanya.

Terumbu karang penting kepada kepelbagaian marin, yang menyokong kira-kira 25 peratus kehidupan marin walaupun meliputi tidak sampai 0.1 peratus daripada lantai lautan.

Ia juga menyediakan habitat penting bagi spesies marin, melindungi pesisir pantai daripada ombak, ribut dan hakisan selain menyokong punca pendapatan dan keterjaminan makanan lebih daripada satu bilion orang di seluruh dunia.

Program Pulau Lang Tengah yang memberi tumpuan terhadap pemulihan terumbu kendalian kakitangan itu menyokong sumbangan operasi lebih besar Vantris Energy kepada pemuliharaan marin.

Dari sudut perindustrian, Vantris Energy sebelum ini memanfaatkan keupayaan kejuruteraan luar pesisir dan kapal angkat berat Sapura 3000 pada 2020 untuk projek Pelantar kepada Terumbu pertama Thailand, dengan memindahkan tujuh jaket platform yang sudah tidak lagi digunakan ke tapak terumbu berhampiran Koh Pha-Ngan.

Struktur berkenaan kini bertindak sebagai habitat subur dan tempat perlindungan bagi spesies marin. Malah, tapak tersebut kemudiannya diisytiharkan sebagai kawasan terlindung oleh Jabatan Marin dan Sumber Pantai Thailand.