Belanjawan Perak 2027: Pendidikan, latihan TVET jadi keutamaan

Iklan
Saarani ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 di Dewan Negeri di sini pada Selasa.

IPOH – Pendidikan, latihan kemahiran dan kebolehpasaran modal insan menjadi antara keutamaan kerajaan negeri menerusi Belanjawan Negeri Perak 2027.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa inisiatif diperkenalkan bagi memastikan golongan muda mampu merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil pembangunan ekonomi dan industri di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangunan ekonomi melalui pelaburan, teknologi dan industri perlu disertai usaha membangunkan modal insan supaya anak Perak memiliki ilmu, kemahiran serta keupayaan untuk bersaing.

"Atas iltizam inilah, Fokus Ketiga Belanjawan 2027 memberikan keutamaan kepada pendidikan, pengajian tinggi, pembangunan kemahiran, kebolehpasaran, kepimpinan belia serta kecemerlangan sukan dan industri kreatif," katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut.

Iklan

Saarani berkata, bagi memperkukuh sektor pendidikan, kerajaan negeri menyediakan RM10 juta bagi Bantuan Khas Pendidikan Melayu/Islam, bantuan perkapita pelajar sekolah tahfiz dan pondok (RM2 juta) serta bantuan perkapita pelajar sekolah kerajaan (RM4.3 juta).

Katanya, selain itu sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan bagi Bantuan Khas Pendidikan Cina, Bantuan Khas Pendidikan India (RM 1 juta), Bantuan Khas Pendidikan Orang Asli (RM400,000) dan Sumbangan Pendidikan (RM600,000).

Iklan

Peruntukan turut meliputi RM250,000 bagi bantuan sekolah pendidikan khas serta RM240,000 masing-masing untuk Program Pemantapan Pelajar Sekolah Rendah dan program pemantapan pelajar SPM, STPM serta STAM.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM7 juta bagi pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta RM4.4 juta untuk operasi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

Katanya, menerusi Agenda Koridor TVET Negeri Perak, sebanyak 114 kursus dalam 11 kluster dilaksanakan dengan penyertaan 1,832 peserta, termasuk latihan modular industri, latihan mahir kerja, TVET Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli.

"Daripada Latihan Modular Industri, 414 peserta menerima tawaran pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, dengan nilai janaan pendapatan RM1 juta bagi penempatan sepanjang Januari hingga September 2026.

"Latihan pengkhususan dalam bidang penjagaan warga emas pula memberikan manfaat kepada 139 peserta, dengan nilai janaan pendapatan RM900,000," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memperluas Jelajah AIM TVET Bersama Cikgu Saarani kepada lima siri pada tahun depan dengan sasaran 10,000 murid selain meneroka bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi dan automasi industri.