BANK Rakyat memperkukuh kepakaran Syariah menerusi penganjuran bersama International Fatwa Advancement (iFTA) 2026 di Amman, Jordan yang memberi tumpuan kepada metodologi pengeluaran fatwa serta penyelesaian isu Syariah kontemporari dalam sektor kewangan Islam.
Program lapan hari bermula 1 hingga 8 November 2026 itu dianjurkan bersama Maybank Islamic Berhad dan Dar al-Ifta’ al-‘Amm Jordan dengan kerjasama Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) serta Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
iFTA 2026 menghimpunkan 40 pakar dan pengamal Syariah daripada institusi kewangan, institusi fatwa serta institusi pengajian tinggi, antaranya Bank Negara Malaysia, Bank Rakyat, Maybank Islamic, Bank Islam, Bank Muamalat, ASAS, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, penganjuran program itu memberi peluang kepada peserta mendalami kaedah penelitian hukum, memperkukuh keupayaan ijtihad serta membincangkan pendekatan bagi menangani persoalan Syariah dalam konteks semasa menerusi perkongsian bersama mufti, ilmuwan dan pakar fatwa di Jordan.
“Menerusi perkongsian bersama para mufti, ilmuwan dan pakar fatwa di Jordan, peserta mendalami kaedah penelitian hukum, memperkukuh keupayaan ijtihad serta membincangkan pendekatan untuk menangani persoalan Syariah dalam konteks semasa.
“Pengisian ini menyokong pembangunan kepakaran yang diperlukan untuk menilai isu dengan teliti dan membuat pertimbangan Syariah yang mengambil kira perkembangan industri,” katanya.
Tambah Bank Rakyat, pembangunan kepakaran berkenaan menjadi asas kepada tadbir urus Syariah yang berkesan, khususnya dalam memastikan penilaian produk, perkhidmatan dan urusan perbankan sentiasa berpandukan prinsip Syariah.
“Penganjuran bersama iFTA 2026 merupakan sebahagian daripada usaha Bank Rakyat untuk membangunkan tenaga pakar Syariah yang mampu menghubungkan kefahaman hukum dengan amalan kewangan semasa.
“Usaha ini menyokong keupayaan Bank Rakyat untuk membangunkan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan dan memelihara keyakinan terhadap pematuhan Syariah dalam setiap urusan perbankan,” katanya.
Pada masa sama, kefahaman mendalam terhadap metodologi fatwa juga penting bagi menyokong perkembangan perniagaan perbankan Islam tanpa mengabaikan aspek pematuhan Syariah.
Majlis penutup iFTA 2026 disempurnakan Mufti Besar Kerajaan Hasyimiah Jordan, Dr Ahmad Ibrahim Hasan al-Hasanat yang turut menyampaikan ucaptama dan sijil kepada peserta.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah turut menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin, Datuk Mohamad Nasri Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Presiden ASAS, Datuk Prof Dr Mohamad Akram Laldin serta Mufti Negeri Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Selain memperkukuh kompetensi peserta, iFTA 2026 turut menyediakan ruang pertukaran pandangan antara institusi fatwa, institusi kewangan Islam dan ahli akademik Malaysia dengan pakar di Jordan.
Hubungan itu membuka peluang untuk memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, latihan dan perbincangan isu Syariah yang berkaitan dengan keperluan industri.