BERLIN - Kira-kira 400 sekolah di seluruh Jerman menerima ancaman bom menerusi e-mel, lapor Anadolu Ajansi pada Isnin yang memetik akhbar Bild.
Polis di bandar Freiburg, barat daya Jerman, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka menerima laporan mengenai ancaman bom terhadap beberapa sekolah, termasuk menerusi talian kecemasan polis.
E-mel berkenaan dilaporkan menggunakan tajuk"Kematian Menanti Anda".
Polis berkata semua mesej itu menggunakan ayat yang sama.
Penyiasat sedang berusaha mengenal pasti pengirim e-mel berkenaan.
Polis di Thuringia, timur Jerman berkata, mereka sedang menyiasat kes itu sebagai perbuatan mengganggu ketenteraman awam melalui ancaman melakukan jenayah.
Pada peringkat ini, penyiasat dilaporkan"tidak percaya ancaman bom itu serius".
Polis Thuringia memaklumkan bahawa mereka menasihatkan pihak sekolah supaya tidak melakukan pemindahan.
Bagaimanapun, seorang jurucakap polis berkata beberapa sekolah telah menghantar murid pulang pada pagi Isnin.
Polis turut menghantar pasukan rondaan ke sekolah berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan di Hanover mengesahkan bahawa beberapa sekolah di negeri Lower Saxony, utara-tengah Jerman, turut menerima ancaman bom.
Kedua-dua kementerian itu pada mulanya tidak menyatakan jumlah sekolah yang terjejas.
Secara umumnya, pihak sekolah dinasihatkan supaya menghubungi polis dan membuat laporan sekiranya menerima sebarang ancaman.
Pada November, ancaman turut dibuat terhadap ribuan sekolah di Itali sehingga menyebabkan pemindahan di banyak sekolah.
Ancaman bom sebelum ini juga pernah mengganggu trafik udara di Eropah.- Bernama-Anadolu