JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto secara rasmi menyerahkan dua nama calon Wakil Presiden (Wapres) kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan sehingga tamat penggal pemerintahan 2024-2029.
Dua nama yang dicadangkan ialah Setiausaha Agung Parti Gerindra, Sugiono dan Menteri Pertanian, Andi Amran Sulaiman.
Penyerahan surat cadangan itu dilakukan sendiri oleh Prabowo kepada Ketua MPR, Ahmad Muzani di Kompleks Parlemen, Senayan di Jakarta pada Isnin.
Menurut Prabowo, kedua-dua nama berkenaan dikemukakan mengikut peruntukan Perlembagaan dan peraturan ketatanegaraan Indonesia bagi membolehkan MPR memilih pengganti jawatan Naib Presiden untuk baki tempoh penggal di bawah pentadbiran beliau.
Muzani kemudiannya membacakan nama kedua-dua calon yang dikemukakan selepas menerima surat berkenaan.
Penyerahan itu dibuat selepas MPR mengadakan mesyuarat gabungan yang memutuskan untuk menangguhkan sidang bagi pemilihan dan pelantikan Wapres baharu daripada 9 kepada 11 Disember depan.
Perubahan tarikh itu dibuat selepas MPR menerima pelbagai pandangan dan kritikan berhubung pematuhan tempoh penyerahan nama calon seperti yang ditetapkan dalam peraturan badan perundangan berkenaan.
Sidang Paripurna MPR pada 11 Disember depan dijadualkan membincangkan proses pemilihan dan penetapan Naib Presiden baharu bagi menggantikan Gibran Rakabuming Raka yang meletak jawatan susulan berdepan tekanan politik yang mempersoalkan kelayakan akademik beliau. - Agensi