TRIPOLI – Sebuah kapal perang Rusia meletup dan terbakar selepas dipercayai menjadi sasaran serangan dron ketika berlabuh di pangkalan tentera laut Benghazi, timur Libya, pada Ahad.
Kerajaan Libya yang berpangkalan di timur negara itu berkata, siasatan awal mendapati letupan berlaku di atas kapal berkenaan yang ketika itu berada di pelabuhan untuk mengisi minyak dan mendapatkan bekalan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Rusia.
Kapal yang dikenal pasti sebagai Merkury itu merupakan korvet Tentera Laut Rusia, iaitu kapal perang bersaiz kecil yang dilengkapi sistem persenjataan dan pertahanan tersendiri.
Imej satelit yang dianalisis penyedia perisikan Vantor menunjukkan sebahagian besar kapal berkenaan terbalik dan tenggelam, manakala hanya bahagian haluannya masih kelihatan di permukaan air.
Asap turut dilihat keluar dari struktur kapal dengan serpihan bertaburan di sepanjang dermaga.
Menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya 10 warga Rusia dan Libya mengalami kecederaan ringan dalam insiden itu dan menerima rawatan di Benghazi.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Menurut laporan Associated Press (AP), pegawai tentera Libya berkata siasatan awal mendapati enam dron laut digunakan dalam serangan terhadap kapal berkenaan.
Empat dron berjaya dipintas, manakala dua lagi dipercayai mengenai sasaran sehingga menyebabkan letupan dan kebakaran.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai pihak yang bertanggungjawab masih belum disahkan dan tiada kumpulan mengaku melancarkan serangan tersebut.
Pihak berkuasa Rusia juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.
Kerajaan Libya yang berpangkalan di timur negara itu mengecam serangan berkenaan sebagai pencabulan kedaulatan negara serta ancaman terhadap keselamatan maritim.
Perdana Menteri kerajaan berkenaan, Osama Hamad berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB supaya siasatan antarabangsa dijalankan.
Beliau turut meminta siasatan meneliti dakwaan bahawa dron berkenaan dilancarkan dari wilayah barat Libya serta kemungkinan kehadiran pakar Ukraine di negara itu.-Agensi