JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bakal mengemukakan nama dua calon Naib Presiden kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada Isnin, menurut agensi berita Antara yang memetik kenyataan seorang Timbalan Speaker MPR.
Pencalonan itu dibuat susulan pengunduran Gibran Rakabuming Raka sebagai Wakil Presiden (Wapres). Gibran merupakan anak kepada bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang masih mempunyai pengaruh besar dalam politik negara itu.
Peletakan jawatan itu berlaku selepas beberapa minggu tekanan politik susulan kes perundangan yang mempersoalkan kesahihan kelayakan Gibran beliau untuk memegang jawatan naib presiden.
Jawatan Wapres di Indonesia secara umumnya dilihat lebih bersifat istiadat berikutan Gibran sebelum ini dilaporkan mempunyai penglibatan terhad dalam proses membuat keputusan kerajaan.
Penganalisis berpendapat, pemilihan calon Wapres baharu boleh menjadi petunjuk penting mengenai hala tuju strategi politik Prabowo ketika tahap sokongan terhadap beliau semakin merosot susulan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi dan dasar pentadbirannya.
Peletakan jawatan Gibran turut dilihat sebagai petanda keretakan hubungan politik antara Prabowo dengan Jokowi setelah sekutu rapat Presiden dua penggal itu turut dikaitkan dengan skandal pengintipan telefon yang menggemparkan negara itu.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan kemungkinan berlakunya perubahan besar dalam landskap politik Indonesia khususnya membabitkan pakatan antara kedua-dua tokoh berkenaan.
MPR dijadual memilih Wapres baharu menerusi sidang pleno pada 11 Disember ini selepas proses tapisan terhadap kedua-dua calon selesai dijalankan. - Agensi