SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memulakan kajian awal bagi menggubal Rang Undang-Undang (RUU) khusus menangani isu gelandangan di negara ini yang dijangka dibentangkan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian itu bertujuan mengenal pasti pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani isu gelandangan yang memerlukan kerjasama pelbagai agensi.
Menurut beliau, usaha penggubalan RUU itu masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian lanjut sebelum dibentangkan.
"Insya-ALLAH, mungkin dalam tempoh dua atau (beberapa) tahun lagi, kita akan ada satu RUU yang akan dibentangkan mengenai gelandangan.
"(Perkara) ini baru nak mula dan masih dalam peringkat kajian," katanya ketika ditemui selepas Majlis Santai Kasih KPWKM bersama Media di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) di sini pada Isnin.
Mengulas isu gelandangan dan kegiatan meminta sedekah membabitkan warga asing yang semakin berleluasa di ibu kota serta bandar lain, Nancy berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani masalah itu.
Menurut beliau, kerjasama rentas agensi amat penting memandangkan isu itu bukan hanya di bawah tanggungjawab satu kementerian, sebaliknya memerlukan tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
"Operasi bersepadu turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi menangani isu ini secara bersama," jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, Majlis Santai Kasih KPWKM bersama Media yang dianjurkan setiap tahun merupakan tanda penghargaan kepada pengamal media atas peranan mereka menyampaikan maklumat berkaitan dasar, perkhidmatan dan inisiatif kementerian kepada masyarakat.
Katanya, media menjadi jambatan penghubung antara kementerian dengan rakyat, sekali gus memastikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif dan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara berkesan.
Sinar Harian turut menerima penghargaan pada majlis itu yang turut diserikan dengan persembahan penyanyi Kaka Azraff.