Cadang syarikat suami dapat projek, penolong akauntan kanan MDM dipenjara

Iklan
SSazawati dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Penolong akauntan kanan Majlis Daerah Marang (MDM) pada Isnin dihukum penjara setahun dan denda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyalahgunakan kuasa dengan mencadangkan syarikat milik suaminya bagi kerja pemasangan karpet pejabat, lima tahun lepas.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Sazawati Salleh, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan Sazawati dipenjara tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, kepentingan awam perlu diutamakan bagi memastikan kesalahan seumpama itu tidak terus berleluasa.

Iklan

"Bagaimanapun, saya juga mengambil kira ini adalah kesalahan pertama Orang Kena Tuduh (OKT). Hukuman yang terlalu berat boleh mendatangkan kemudaratan kepada beliau,” katanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini, namun peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili Sazawati memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.

Iklan

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dengan menetapkan syarat Sazawati perlu memfailkan notis rayuan lengkap serta menambah wang jaminan RM2,000 daripada jumlah asal RM5,000, dengan seorang penjamin.

Sazawati didakwa mencadangkan sebut harga daripada Edaran Sepakat Trading bagi melaksanakan kerja pemasangan karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai Bahagian Kewangan MDM bernilai RM10,640 pada 12 Januari 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Kewangan MDM mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Amalina Najwa Mohd Ali dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof. - Bernama