Polis pintas BMW, dua ahli Geng Mat Lan Keladi dicekup curi kabel

Iklan
Yusharifuddin (dua dari kiri) menunjukkan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel pada sidang media kejayaan menumpaskan Geng Mat Lan Keladi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada Isnin. Foto Bernama

KANGAR - Polis menahan dua lelaki daripada ahli Geng Mat Lan Keladi yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di hadapan Dataran Keris, Jalan Kangar-Alor Setar di sini pada 17 November.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan pihak polis pada jam 4.35 pagi, selepas bertindak atas maklumat orang awam yang dipercayai berlaku kecurian kabel di kawasan sebuah stesen minyak di Taman Kemajuan di sini, pada jam 4.25 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setibanya pihak polis di kawasan stesen minyak berkenaan mendapati, terdapat tiga kereta dengan dipercayai ada tujuh lelaki terlibat dalam kecurian kabel ketika itu sebelum mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis di situ.

"Polis mengejar suspek dan berjaya memintas kereta jenis BMW dinaiki dua suspek ini, manakala dua lagi kereta iaitu Volvo dan Volkswagen yang dipercayai ada lagi lima suspek lelaki terlibat berusia antara 30 hingga 50 tahun, terlepas melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini pada Isnin.

Iklan

Yusharifuddin berkata, polis percaya ahli geng itu terdiri daripada tujuh lelaki berkenaan dengan lima lagi lelaki yang masih bebas itu, sedang dikesan pihak polis termasuk ketua kumpulan mereka dan geng itu dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri kabel dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel direkodkan di daerah Kangar, bagi tempoh Januari hingga Oktober menerusi tangkapan dua suspek itu.

Iklan

Yusharifuddin berkata, lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai 33 rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik, manakala lelaki berumur 35 tahun itu pula memiliki tiga rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik.

"Permohonan reman pertama terhadap dua suspek ini dibenarkan dari 18 hingga 21 November, manakala reman kedua terhadap mereka dibenarkan selama tiga hari bermula 21 hingga 24 November. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kecurian kabel diminta tampil menyalurkan maklumat ke IPD Kangar menerusi talian 04-9082340 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Bernama