Iran dakwa serang sistem pertahanan udara AS di dua pangkalan Bahrain

Iklan
Papan iklan memaparkan imej peluru berpandu Iran pada sebuah bangunan di Teheran, Iran. - Foto Agensi

MANAMA - Iran mendakwa melancarkan serangan terhadap sistem radar pertahanan udara Amerika Syarikat (AS) di dua pangkalan tentera di Bahrain dalam perkembangan terbaru konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menurut laporan Al Jazeera, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan, operasi gabungan menggunakan peluru berpandu dan dron itu menyasarkan pangkalan di Al-Riffa dan Awali yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Iklan
Iklan

IRGC mendakwa, dua radar pertahanan udara Patriot milik AS berjaya dimusnahkan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran ruang udara Iran oleh dron pengintip dan tempur AS.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Bahrain berkata, sistem pertahanan negara itu berjaya memintas beberapa serangan udara, manakala sebuah kemudahan perindustrian awam dilaporkan terbakar akibat insiden berkenaan.

Iklan

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain sebelum itu mengeluarkan amaran keselamatan dan menggesa penduduk mendapatkan perlindungan selepas siren amaran dibunyikan di beberapa kawasan.

Iklan

Laporan Al Jazeera turut menyebut bahawa Bahrain, yang menempatkan Armada Kelima Tentera Laut AS, menjadi sasaran beberapa serangan sejak tercetusnya perang melibatkan Iran, AS dan Israel awal tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, media kerajaan Iran menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan serangan ke atas radar pertahanan AS serta pemintasan dua dron Amerika di sekitar Selat Hormuz.

Namun, dakwaan itu belum dapat disahkan secara bebas.

Ketegangan di rantau Teluk terus meningkat ketika laluan perkapalan strategik di Selat Hormuz berdepan gangguan keselamatan yang boleh menjejaskan bekalan tenaga global, lapor Al Jazeera. - Awani