AUSTIN - Seorang banduan akhir di Texas, Amerika Syarikat (AS) menjerit kesakitan berulang kali ketika menjalani hukuman mati menerusi suntikan maut yang berlarutan lebih sejam hingga mencetuskan persoalan mengenai pelaksanaan prosedur tersebut.
Jurucakap Jabatan Keadilan Jenayah Texas berkata, beberapa percubaan dilakukan untuk mencari salur darah yang sesuai bagi memasukkan jarum suntikan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Dennes turut mengadu kesakitan pada bahagian tubuh yang tidak melibatkan sebarang percubaan suntikan.
Kes Dennes berlaku beberapa minggu selepas pelaksanaan hukuman mati terhadap Christa Pike dilaporkan gagal apabila banduan itu terselamat daripada dua dos suntikan maut.
Pike dipercayai satu-satunya individu yang hidup selepas pelaksanaan hukuman mati menggunakan kaedah suntikan maut.
Pada Jumaat, Jabatan Keadilan Jenayah Texas menolak dakwaan bahawa pelaksanaan hukuman mati terhadap Dennes gagal, sebaliknya menegaskan semua prosedur ditetapkan telah dipatuhi.
“Keseluruhan proses mengambil masa kira-kira sejam seperti kebiasaan,” kata jurucakap jabatan itu, Amanda Hernandez.
Menurutnya, pihak berkuasa mengambil masa bagi memastikan jarum intravena (IV) berjaya dimasukkan ke dalam salur darah yang sesuai iaitu pada kaki kiri dan bahagian kiri leher Dennes.
Beliau turut mendakwa aduan kesakitan oleh Dennes bermula sebelum sebarang ubat disuntik ke dalam tubuhnya.
Dennes dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan Janos Szucs, seorang peniaga berlian yang maut ditembak pada 1996.
Pelaksanaan hukuman itu berlangsung pada hari sama seorang lagi banduan dihukum mati di Florida.
Menurut saksi,Graczyk, sebaik sahaja mereka dibenarkan memasuki bilik pelaksanaan hukuman, Dennes terus menjerit kesakitan dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil merayu agar proses itu dihentikan.
Seorang lagi saksi, paderi Jeff Hood memberitahu USA Today, pelaksanaan hukuman mati terhadap Dennes merupakan 'kejadian paling teruk' pernah disaksikannya. - Agensi