ULAANBAATAR – Dakwaan menerima suapan AS$25 juta (RM102.8 juta) berkaitan projek pembinaan landasan kereta api menggugat kedudukan Presiden Mongolia, Khurelsukh Ukhnaa sehingga beliau mengambil keputusan untuk berundur selepas lebih lima tahun menerajui negara itu.
Kontroversi tersebut tercetus apabila bekas Datuk Bandar Ulaanbaatar, Nyambaatar Khishgee mendakwa Khurelsukh menerima suapan berkaitan pemberian kontrak projek landasan kereta api Tavantolgoi-Gashuunsukhait kepada syarikat Bodi International pada 2019.
Projek strategik itu bertujuan menghubungkan kawasan perlombongan arang batu Tavantolgoi dengan Gashuunsukhait di sempadan China bagi memudahkan eksport arang batu Mongolia ke negara jiran.
Dakwaan itu membangkitkan persoalan mengenai proses pemberian kontrak yang dikatakan tidak melalui tender terbuka ketika Khurelsukh, 58, masih memegang jawatan Perdana Menteri.
Nyambaatar yang juga anggota Parti Rakyat Mongolia (MPP) mendakwa beberapa pegawai kanan kerajaan turut mempunyai kaitan dengan skandal berkenaan.
Bagaimanapun, Khurelsukh menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan beliau tidak pernah mencuri wang rakyat atau negara serta menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak penyiasat bagi membersihkan namanya.
Bodi International juga menafikan tuduhan membayar rasuah kepada mana-mana pegawai kerajaan.
Pada Selasa lalu, Khurelsukh mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan Presiden bagi memberi ruang kepada siasatan dijalankan selain mempertahankan maruahnya daripada tuduhan berkenaan.
Parlimen kemudiannya meluluskan peletakan jawatannya pada Jumaat dengan 96 daripada 104 ahli yang hadir menyokong keputusan itu, sekali gus menjadikannya Presiden pertama negara tersebut yang meninggalkan jawatan sebelum tamat tempoh perkhidmatan sejak reformasi Perlembagaan 1992.
Perpecahan dalaman
Dilahirkan pada 14 Jun 1968 di Ulaanbaatar, Khurelsukh memulakan kerjaya sebagai pegawai politik dalam Tentera Rakyat Mongolia pada 1989 sebelum menyertai MPP pada 1991.
Beliau membina pengaruh dalam parti itu menerusi beberapa jawatan penting termasuk Setiausaha Agung MPP dari 2008 hingga 2012 selain pernah memegang portfolio Menteri Pengurusan Kecemasan dan Menteri Pemeriksaan Khusus.
Pengalaman dalam pentadbiran kerajaan membawanya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebanyak dua kali sebelum mencapai kemuncak kerjaya apabila menjadi Perdana Menteri pada Oktober 2017.
Bagaimanapun, beliau meletakkan jawatan pada Januari 2021 susulan gelombang kemarahan rakyat terhadap pengendalian pihak berkuasa ketika insiden pemindahan seorang ibu yang baru melahirkan anak ke pusat kuarantin Covid-19.
Keputusan itu bagaimanapun tidak menghentikan langkah politiknya apabila beliau memenangi Pilihan Raya Presiden pada Jun 2021 dengan kira-kira 68 peratus undi dan kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Presiden keenam Mongolia pada 25 Jun tahun sama.
Meskipun pernah bangkit daripada krisis politik untuk menduduki jawatan tertinggi negara, Khurelsukh sekali lagi berdepan kontroversi yang mencalarkan imejnya.
Kali ini dakwaan rasuah yang masih belum dibuktikan di mahkamah menjadi episod paling mencabar dalam perjalanan politiknya lantas mencetuskan persoalan mengenai legasi kepimpinannya.
Kontroversi itu turut memperlihatkan perpecahan dalam parti pemerintah apabila individu yang mendedahkan dakwaan tersebut merupakan anggota parti sama dengan Khurelsukh walaupun daripada puak politik berbeza.
Nyambaatar yang pernah memegang jawatan Datuk Bandar Ulaanbaatar dilaporkan hidup dalam buangan di Kanada. Khurelsukh turut membalas tuduhan itu dengan mendakwa bekas pegawai itu juga mempunyai kaitan dengan rasuah dalam projek pembangunan lain yang jelas memperlihatkan pertelingkahan semakin meruncing antara dua tokoh politik tersebut.
Krisis itu turut berlaku ketika Ulaanbaatar berdepan ketidak-stabilan kepimpinan apabila negara Asia Timur itu menyaksikan tiga Perdana Menteri mengambil alih jawatan dalam tempoh hanya sembilan bulan susulan pergolakan dalam parti pemerintah.
Peletakan jawatan Khurelsukh kini membuka laluan kepada Pilihan Raya Presiden lebih awal yang bakal diadakan dalam tempoh empat bulan. Tempoh perkhidmatan pemimpin itu sepatutnya berakhir pada Jun 2027. - Agensi