Speedy Tigress ikat China 2-2

Iklan
Foto Konfederasi Hoki Malaysia.

SKUAD hoki wanita kebangsaan membuktikan mampu memberi cabaran sengit apabila berhasil mengikat skuad gergasi Asia, China 2-2 dalam perlawanan kedua Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2026 di Bhopal, India pada Sabtu.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian C R Kumar berjaya meraih satu mata berharga menentang pasukan yang menduduki ranking pertama Asia dan keempat dunia.

Iklan
Iklan

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki, Pusat Sukan Nasional, Barkheda Nathu menyaksikan Malaysia membuka tirai jaringan menerusi pukulan strok penalti Siti Nur Irdina Mohd Nor pada minit ke-31, namun China kembali menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Wei Qixiao empat minit kemudian.

China kemudian mendahului apabila Feng Jiaxin menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41, sebelum Azmyra Mia Sofea Azhari memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong apabila meledak gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Iklan

Mengulas mengenai perlawanan, Kumar menyifatkan keputusan itu amat penting kerana kutipan mata itu, mampu meningkatkan motivasi pemain untuk menghadapi baki perlawanan dalam kejohanan tersebut.

"Ini perlawanan menentang China, keputusan ini amat penting untuk kami, kerana dapat satu mata di kejohanan ini amat penting. Ia akan beri motivasi kepada pemain untuk bermain dengan lebih baik pada perlawanan selanjutnya,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Sabtu.

Iklan

Keputusan seri itu pastinya menjadi pembakar semangat buat skuad negara untuk meneruskan saingan, apabila bakal berdepan Korea Selatan pada 7.15 malam esok.

Skuad negara sebelum ini tewas kepada India 4-1 pada aksi pembukaan pada Khamis. - Bernama