KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan RM10,000 kepada pelumba muda dari Pahang Muhammad Qaish Isyraf Mohd Qayyum untuk membantu penyertaannya dalam FIM MotoMini World Final Series di Valencia, Sepanyol.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, sumbangan disampaikan menerusi wakil beliau kepada pelumba cilik dari Indera Mahkota, Kuantan itu pada Khamis.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Farhan berkata Muhammad Qaish Isyraf bakal beraksi dalam kategori 160cc pada kejohanan antarabangsa berkenaan.
"Sumbangan ini diharapkan dapat menjadi pembakar semangat serta membantu menampung sebahagian perbelanjaan beliau, sepanjang menyertai kejohanan berprestij tersebut.
"Saya juga sempat berbual dan bertanya khabar Qaish melalui panggilan video, berkenaan dengan persediaan beliau menghadapi kejohanan yang beliau sertai,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan bakat anak tempatan mendapat perhatian, sokongan dan peluang untuk berkembang serta mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa. - Bernama